Categories
KENYATAAN MEDIA

PKR tentang kenaikan tol melalui pegangan saham Kerajaan Selangor

Oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim

KADAR tol yang bakal dinaikkan adalah akibat perbelanjaan boros kerajaan Barisan Nasional. Selepas PRU-13, kita menyaksikan kenaikan harga petrol, diikuti dengan kenaikan harga gula dan tarif elektrik, dan kini diasak pula dengan kenaikan kadar tol lebuhraya yang dicadangkan di antara 50 sen dan RM2 bermula Januari 2014.

Kesan dari kenaikan harga tol ini akan dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia walaupun lebuhrayanya adalah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kenaikan tol akan menyebabkan kenaikan kos pengangkutan yang kemudiannya meningkatkan kos operasi perniagaan.

Akibatnya, peniaga dan pengilang tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga barang dan perkhidmatan yang sebahagian besarnya dikilang di Lembah Klang dan dihantar melalui jaringan lebuhraya ke seluruh negara.

anwar-gstPengalaman saya sebagai Menteri Kewangan yang pernah juga berdepan dengan tuntutan kenaikan tol dari pemegang konsesi meyakinkan saya bahawa kerajaan perlu waspada dengan keuntungan berlipatkali ganda yang dinikmati oleh syarikat pemegang konsesi.

Saya tidak pernah menerima laporan kewangan yang diberikan oleh syarikat pemegang konsesi bulat-bulat dan dibantu oleh pimpinan tertinggi Perbendaharaan untuk memastikan keuntungan itu munasabah dengan bebanan ekonomi negara dan rakyat.

Kerajaan mempunyai pegangan besar dalam konsortium pemegang konsesi lebuhraya, maka ia berhak menggunakan pegangan sahamnya itu untuk melindungi kepentingan rakyat.

Kerajaan Negeri pula mempunyai kuasa untuk memastikan bahawa kebenaran merancang, pengambilan tanah, jajaran dan lain-lain tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan sebelum sesuatu lebuhraya boleh dibina.

Oleh sebab itu, saya menyangkal kenyataan menteri-menteri Barisan Nasional bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana ia telah termaktub di dalam perjanjian yang dimeterai. Saya juga menolak alasan yang diberikan Barisan Nasional bahawa kerajaan tidak berkuasa untuk membendung kenaikan tol.

download (1)Kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat mempunyai pegangan saham di dalam KESAS (30% pegangan melalui PKNS) serta SPRINT dan LDP (20% pegangan melalui Kumpulan Perangsang milik rakyat Selangor).

Saya telah berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan bersetuju bahawa Kerajaan Selangor akan menggunakan pegangan sahamnya di dalam lebuhraya-lebuhraya ini untuk menolak kenaikan tol seperti yang diumumkan oleh Barisan Nasional.

Saya difahamkan Menteri Besar akan membawa perkara ini untuk dibincangkan di dalam Mesyuarat EXCO pagi ini dan arahan bakal dikeluarkan kepada wakil-wakil Kerajaan Selangor di dalam konsortium lebuhraya terbabit untuk menolak kenaikan tol.

Perbincangan saya dengan Menteri Besar juga bersetuju bahawa Kerajaan Selangor akan mengenakan syarat-syarat ketat kepada cadangan lebuhraya baru yang ingin dibina (iaitu DASH, KIDEX, SUKE dan KLORR) seperti berikut:

downloada)  Kebenaran pembangunan hanya akan diberikan sekiranya syarat-syarat keuntungan yang mengikut formula yang lebih adil kepada rakyat dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan dan pemegang konsesi

b) Pengambilan tanah dan urusan pentadbiran tanah hanya akan dibenarkan sekiranya syarat-syarat bersabit kadar tol yang adil kepada rakyat dan kebertanggungjawaban pemegang konsesi kepada rakyat Selangor dipatuhi

Ini adalah sebahagian daripada tindakan yang boleh diambil Kerajaan Selangor untuk membendung kenaikan tol. Kuasa yang ada di peringkat Kerajaan Pusat adalah jauh lebih besar dan sudah tentu boleh sahaja menghentikan kenaikan tol ini jika ada kemahuan dan keikhlasan.

* Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Ketua Umum PKR

Leave a Reply

Your email address will not be published.