Categories
BERITA UTAMA

Purata kenaikan gaji: 13 peratus atau 300 peratus?

Oleh Norman G

Saya terpanggil untuk mengulas perihal kenaikan gaji badan eksekutif (Menteri Besar dan Exco) dan perundangan Selangor (ADUN) yang mendapat tentangan ramai pihak walaupun sudah agak terlewat.

Ini kerana saya menunggu Laporan Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Negeri Selangor yang baru sahaja dikeluarkan hari ini (2 Disember 2013) oleh Jabatan Audit Negara.

Saya hanya akan mengulas kenaikan gaji berdasarkan pendapat saya dengan berlandaskan angka dan fakta daripada kerajaan. Saya tidak akan mengulas hal-ehwal dalaman kerajaan Selangor dan Parti Keadilan Rakyat.

Seperti yang sedia maklum Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan kenaikan gaji Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkuat kuasa pada 1 Januari 2014.

Pertama sekali saya akan menunjukkan implikasi kewangan ke atas perbelanjaan kerajaan negeri disebabkan kenaikan gaji membabitkan seorang Menteri Besar, seorang Speaker, seorang Timbalan Speaker, 10 Exco dan 56 ADUN.

dewan-dun-selangorIa menjadikan keseluruhan perbelanjaan gaji mereka bermula 2014 ialah RM900,000 sebulan atau RM10.8 juta setahun iaitu kenaikan purata 114 peratus berbanding jumlah keseluruhan peruntukan gaji sekarang iaitu RM5,048,412 setahun.

Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan 2014 bernilai RM1.85 bilion, peruntukan gaji kepada MB, EXCO, Speaker dan ADUN hanya 0.58% daripada keseluruhan peruntukan itu.

Terpulang kepada anda untuk menilai adakah jumlah dan peratusan kenaikan itu wajar atau tidak.

Kali terakhir kenaikan gaji yang disebut media pada 2011 hanya melibatkan kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri sahaja dan tidak melibatkan MB, EXCO, Speaker mahupun Timbalan Speaker.

Kenaikan itu daripada RM4,112.79 kepada RM6,000 sebulan untuk semua ADUN seperti yang tertera dalam hansard DNS ke-12, penggal ke-4, mesyuarat pertama pada 31 Mac 2011:

Bagaimana pula kenaikan terakhir gaji MB, Speaker dan Exco Selangor? Mengikut portal berita, kali terakhir kenaikan gaji MB dan lain-lain dibuat pada 2005.

Saya tidak dapat mencari hansard untuk DNS sebelum 2008, jadi tiada bukti daripada hansard yang dapat ditunjuk. Dengan mengganggap kenaikan gaji kali terakhir MB dan lain-lain ialah pada 2005 itu betul, maka sudah lapan tahun gaji MB tidak naik.

Berdasarkan kenaikan gaji MB baru-baru ini sebanyak 106 peratus, kenaikan purata tahunan sejak 2005 ialah 13.25 peratus dan Exco (28.875 peratus).

Adakah ini juga melampau bagi pendapat anda?

Sedangkan, kadar pertumbuhan purata kenaikan gaji MB dan Exco memang lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan purata kenaikan pertambahan pendapatan seisi rumah Selangor iaitu 5.5 peratus dari 2009 hingga 2012.

Untuk kenaikan gaji Speaker dan Timbalan Speaker yang melibatkan kenaikan masing-masing 268 peratus dan 373 peratus dan kenaikan tertinggi antara kenaikan gaji MB, Exco dan ADUN itu, saya menganggap ia untuk pengukuhan institusi demokrasi iaitu DNS yang mengiktiraf Speaker, Timbalan Speaker dan Ketua Pembangkang.

Ia hanya melibatkan dua individu dan bukannya ramai seperti 10 Exco dan 56 ADUN. Jadi tidak adil jika anda marah-marah kenaikan gaji melebihi 300 peratus sedangkan ia hanya melibatkan Speaker dan Timbalan Speaker sahaja.

Kebetulan baru-baru ini seorang menteri kabinet bertanya apa yang dicapai Kerajaan Selangor sehingga menaikkan gaji pada kadar tidak munasabah.

Jadi, saya terpanggil untuk memberitahu menteri tersebut apa yang dicapai oleh Kerajaan Selangor selama mentadbir negeri bertuah ini.

– Kenaikan kutipan hasil sejak 2010
– Hutang kerajaan kepada kerajaan persekutuan menyusut sejak 2008
– Kumpulan Wang Disatukan (rizab negeri) meningkat sejak 2009
– Surplus atau lebihan dalam Laporan Prestasi Kewangan setiap tahun
– Pertumbuhan ekonomi negeri lebih tinggi berbanding Sarawak
– Penyumbang tertinggi kepada ekonomi negara:
– Penurunan insiden kemiskinan dan kemiskinan tegar

Jika ada yang berkata pertumbuhan ekonomi Selangor disebabkan program kerajaan persekutuan seperti ETP, GTP dan sebagainya, saya ingin bertanya mengapa pertumbuhan ekonomi Sarawak menurun dan Selangor meningkat pada 2012?

lalaurusJika ada yang menuduh MB mengurangkan perbelanjaan dan ‘kedekut’, anda juga salah kerana perbelanjaan mengurus dan pembangunan kerajaan Selangor meningkat setiap tahun.

Pencapaian kerajaan Selangor dibuktikan melalui Laporan Ketua Audit Negara oleh Jabatan Audit Negara, Laporan Pendapatan Seisi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Statistik Negara dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Jika ada yang mahu menyangkal pencapaian di atas saya amat alu-alukan.
Bagaimanapun, banyak lagi yang boleh kerajaan Selangor pertingkatkan. Kerajaan Selangor tidak harus selesa dengan keadaan dan kemajuan prestasi ekonomi negeri.

Saya pasti masih ada rakyat Selangor yang ketinggalan dan terperangkap dalam kemiskinan. Seiring dengan kenaikan gaji pemimpin peringkat negeri, kebajikan rakyat juga harus dilipat ganda.

Bantuan program tunai, bantuan untuk usahawan, bantuan kemiskinan dan sebagainya juga harus dinaikkan supaya kemakmuran ekonomi dan hasil negeri boleh dinikmati setiap lapisan masyarakat.

Isu kenaikan gaji sepatutnya tidak menjadi tumpuan berat kita. Masih banyak isu yang menekan seperti isu kutipan sampah, bekalan air seluruh Selangor, penerokaan tanah secara haram dan lain-lain.

Selain itu, sepatut kita desak kepada kerajaan negeri menambah baik program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), pembasmian kemiskinan, bantuan perniagaan, bantuan pendidikan, program membudayakan ilmu dan sebagainya.

Usaha merapatkan jurang pendapatan perlu diganda kerana kita tidak mahu yang kaya, semakin kaya dan yang miskin, semakin miskin.
* Norman G ialah pengundi di Selangor P140 Shah Alam dan DUN N40 Kota Anggerik.
* Artikel ini disunting dari oskortos.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.