Categories
NASIONAL

Tarif elektrik: Rakyat terus ‘terkena’ permainan licik BN

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA 4 DIS : Rakyat Malaysia ‘terkena’ lagi apabila kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) mengambil langkah untuk menaikkan tarif elektrik sebanyak 15 peratus, berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Kenaikan tarif elektrik dijangka mengakibatkan masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi dua isu penting yang memberi kesan buruk terhadap bebanan kos sara hidup mereka.

DSC_0052aaPengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata selain terpaksa membayar tarif elektrik lebih tinggi berbanding sebelumnya, kenaikan itu juga menyebabkan kenaikan harga barangan berikutan peningkatan kos pengeluaran barangan pengguna.

“Pertama, rakyat bukan sahaja terpaksa bayar bil yang lebih tinggi tetapi harga barang juga dijangka meningkat apabila kenaikan ini beri kesan terhadap kos pengeluaran pengilang dan sebagainya.

“Kedua, rakyat terkena sekali lagi kerana kenaikan ini menjejaskan pendapatan bersih perniagaan dan ini memberi kesan kepada peningkatan upah atau bonus golongan pekerja. ‘Bersyukurlah’ kepada BN,” katanya pada sidang media Program Latihan Eksekutif Keadilan di Hotel Subang Empire, di sini, semalam.

Rafizi berkata, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili mennyatakan bahawa kenaikan itu tidak menjejaskan penggunaan di bawah 300 kWh sebulan dan dakwaan itu tidak relevan kerana hanya membabitkan segelintir golongan sahaja.

Beliau berkata, kerajaan harus berusaha mengawal rasuah, ketirisan dan pembaziran sebelum membebankan rakyat untuk menyelamatkan ekonomi negara.

“Kerajaan juga harus mengkaji menaikkan cukai terhadap syarikat penjana bebas yang setiap tahun mengaut keuntungan tinggi sehingga mencecah lebih RM1 bilion.

“Jika perkara ini sudah dilaksanakan dan kalau betul-betul terpaksa, baru boleh adakan kenaikan seperti ini,” katanya.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, BN mengambil keputusan menaikan harga beberapa barangan keperluan pengguna yang memberikan kesan serius terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara yang memberi kesan mendalam terhadap kehidupan masyarakat adalah keputusan menaikan harga petrol RON95, RON97 dan diesel, sekali gus menyebabkan harga barangan pengguna lain turut naik melambung tinggi.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.