Categories
NASIONAL

SAMM lancar misi bantuan banjir kali ke-6

Oleh : Afeeqa Afeera

SELAYANG 13 DIS : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan misi bantuan kemanusiaan buat kali keenam untuk meringankan beban mangsa banjir di Pahang, sejak awal bulan ini.

Penyelarasnya, Md Sani Md Shah, berkata misi bantuan kali ini membabitkan kira-kira 50 anggota daripada seluruh pelusuk negeri untuk melaksanakan kerja pembersihan di kawasan rumah selain penyerahan bantuan berbentuk barangan keperluan.

DSC_0019Beliau berkata, keperluan itu akan diagihkan secara peribadi kepada mangsa daripada rumah ke rumah bagi memastikan bantuan diterima secara adil.

“SAMM di kawasan Kuantan sudah memulakan misi ini dengan membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) di sana memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sejak hari pertama bencana itu berlaku.

“Hari ini, kita lancarkan secara besar-besaran dengan menggerakkan anggota daripada seluruh negeri antaranya Selangor, Negeri Sembilan dan Johor untuk kerja pembersihan di sana dan mengedarkan barangan keperluan kepada mangsa banjir,” katanya ketika pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan SAMM, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail serta Aheli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei.

DSC_0089aMisi bantuan yang mendapat sokongan padu daripada kerajaan Selangor itu juga turut disertai syarikat pemaju perumahan hartanah, Masgenuine Alliance Holdings Sdn Bhd.

Md Sani berkata, misi bantuan selama tiga hari itu akan bergerak dari ibu kota malam ini dan memulakan kerja pengedaran serta pembersihan, awal pagi esok.

Katanya, kebanyakan barangan itu adalah sumbangan orang ramai dan misi kemanusiaan itu akan diteruskan daripada masa ke masa bergantung kepada keperluan penduduk di sana.

“Kita akan pantau keadaan daripada masa ke masa dan bersedia menghulurkan bantuan jika terdapat permintaan daripada penduduk di sana.

“Misi kemanusiaan ini turut mendapat perhatian daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai yang menghubungi SAMM untuk menyalurkan bantuan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.