Categories
NASIONAL

Ambiga : BN sengaja biar ketegangan kaum, gagal henti situasi membimbangkan

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JAN : Kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat sengaja membiarkan ketegangan kaum berlaku di kalangan rakyat dalam keadaan mereka mempunyai kuasa untuk menghentikan situasi membimbangkan itu.

Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga,berkata Datuk Seri Najib Razak juga gagal untuk menjalankan fungsinya sebagai Perdana Menteri dalam menangani isu serius membabitkan ketegangan kaum.

Katanya, tindakan Najib yang sekadar meminta rakyat supaya bertenang dalam menghadapi isu berkenaan adalah tidak cukup tegas dan sangat mengecewakan.

Ambiga mza pic“Sikap kerajaan BN yang tidak mahu mengambil tindakan tegas terhadap penyebar kebencian di kalangan rakyat Malaysia adalah punca utama berleluasanya ketegangan kaum dan agama.

“Ianya seolah-olah sengaja dibiarkan dan ini jelas menunjukkan mereka (BN) memang mahu keadaan tegang ini berterusan.

“Saya juga kesal dengan sikap Najib dan Tan Sri Khalid Abu Bakar (Ketua Polis Negara) kerana tidak mengambil langkah efektif untuk membendungnya,” katanya pada program dialog bersama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, pada 28 januari lalu.

Dipetik daripada Roketkini, Ambiga yang juga seorang peguam berkata, kerajaan BN juga tidak wajar untuk berkompromi dengan sebarang pihak atau individu yang cuba membangkitkan kebencian dan ketegangan antara kaum atau agama.

“Tindakan kompromi ini hanya akan membuatkan pihak yang tidak bertanggungjawab ini semakin berani kerana mereka yakin mereka kebal daripada undang-undang dan tentunya berpotensi melakukan apa saja yang lebih memburukkan keadaan.

“Keadaan ini sedang berlaku dan pemimpin tertinggi negara yang berkuasa sekadar mendiamkan diri dan minta rakyat bertenang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru Najib menerima pelawaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengadakan dialog dan perbincangan bagi meredakan ketegangan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.