Categories
NASIONAL

FOMCA: Kawal orang tengah, elak harga ikan naik

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 6 JAN: Kerajaan pusat perlu mengawal pembabitan orang tengah atau peraih dalam rantaian pembekalan ikan kepada pengguna bagi memastikan harga ikan dapat dikawal.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pembabitan peraih seperti yang dialami kini boleh menjadi punca harga ikan melambung dan agak sukar dikawal sehingga membebankan pengguna.

Katanya, kerajaan pusat perlu memainkan peranan mengguna bidang kuasa yang ada bagi memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan hingga menyebabkan harga ikan meningkat.

fomca orang“Harga sebenar daripada nelayan agak rendah,tetapi apabila terdapat banyak pihak terbabit seperti orang tengah, maka harga ikan menjadi tinggi apabila sampai kepada pengguna.

“Sebab itu, kita lihat ada orang yang sanggup ke Sungai Besar bagi mendapatkan ikan secara terus daripada nelayan bagi mendapatkan harga rendah.

“Tetapi, bukan semua orang ada masa dan kesempatan untuk berbuat demikian, maka kerajaan perlu tolong,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kenaikan harga ikan yang dijangka terus meningkat berikutan musim tengkujuh.

Mengulas lanjut, beliau mengakui sebahagian besar ikan yang dibekalkan kepada pengguna di Malaysia diimport daripada negara luar seperti Thailand dan Indonesia.

“Oleh itu, kita perlu fikirkan alternatif lain supaya harga ikan tidak begitu tinggi seperti mempergiatkan lagi penternakan ikan. Apabila ikan diternak, risiko cuaca yang mempengaruhi penangkapan ikan seperti yang kita alami kini akan berkurangan,” katanya.

Mohd Yusof turut memberi cadangan supaya masyarakat Malaysia mencontohi sikap rakyat Jepun yang bijak menguruskan koperasi demi kehidupan harian mereka.

“Melalui koperasi, mereka membeli barang dan keperluan dalam bentuk borong atau pukal, selain pembungkusan semula dan jual di kalangan mereka dengan harga rendah,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.