Categories
SELANGOR

Iskandar : Polis perlu serius banteras budaya samseng di Kampung Pandan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 JAN: Pihak polis digesa supaya lebih serius dalam membanteras jenayah terutama membabitkan budaya samseng yang semakin berleluasa di Kampung Pandan dan kawasan sekitarnya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata polis perlu menggandakan usaha mereka untuk mengenal pasti pihak yang terbabit dengan insiden jenayah supaya kawasan itu kembali aman.

Hal itu berikutan beberapa siri jenayah yang dilaporkan sebelum ini dengan kes terbaru membabitkan insiden cermin kereta bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ahmad Fauzi Khamis yang dipecahkan.

iskandar-samad-pink-01“Beberapa minit sebelum kejadian, dua orang individu datang mencari Fauzi di rumah tetapi ketika itu beliau berada di luar.

“Beliau mengesyaki kejadian itu berpunca daripada operasi MPAJ terhadap peniaga tanpa izin di kampung itu, pada 28 Januari lalu.

“Satu laporan polis dibuat pada hari sama dan keluarganya sudah dipindahkan ke tempat lain buat sementara waktu untuk keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

1011849_731704813515185_537895276_nBekas Ahli Majlis terbabit juga pernah diugut selepas beliau membangkitkan kewujudan kafe siber yang tidak mematuhi peraturan di kampung itu pada mesyuarat Ahli Majlis MPAJ.

Iskandar yang juga ADUN Cempaka berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku di Kampung Pandan kerana kes sama turut menimpa kakitangan dan penguatkuasa MPAJ ketika cuba menyampaikan notis kepada pemilik premis perniagaan tanpa izin.

Susulan tindakan itu, mereka diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang, bahkan cermin kereta mereka turut dipecahkan.

“Sehingga kini, rakyat tidak melihat sebarang tindakan bersungguh-sungguh daripada pihak polis. Gerai tanpa izin terbabit masih terus beroperasi dengan bebas,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.