Categories
SELANGOR

Kerajaan pusat perlu kaji semula kontrak pembersihan hospital di Selangor

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 11 JAN: Selangor menggesa kerajaan pusat mengkaji semula kontrak pembersihan hospital di negeri itu yang diberikan kepada syarikat kroni ekoran kegagalan memberi perkhidmatan yang efektif.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata pendekatan itu perlu diambil kira kerajaan pusat demi memastikan keadaan hospital yang bersih dan tidak mempengaruhi pesakit.

daroyahKatanya, Kementerian Kesihatan juga perlu memberi peluang kepada kontraktor lain bersaing secara kompetitif bukannya memberi kontrak monopoli kepada satu syarikat sahaja.

“Selangor tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran hospital dan tidak banyak yang kita boleh buat. Masalah ini disebabkan kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat Radicare Sdn Bhd dan bila kontrak ini dimonopoli maka perkara seperti itu berlaku dan memaksa kakitangan hospital bertungkus lumus membersihkan kawasan persekitaran,” katanya ketika di hubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Daroyah berkata, penganugerahan kontrak itu membuktikan kontrak penswastaan yang diberikan kepada syarikat kroni menampakkan kesan negatif.

“Kerajaan harus memberi peluang kepada syarikat yang berwibawa dan profesional dalam menjalankn kerja. Apabila banyak persaingan yang sihat, maka perkara ini tidak akan berlaku.

“Hospital adalah tempat pesakit untuk mendapatkan rawatan perubatan bayangkan jika tahap kesihatan tidak dijaga, sudah tentu akan memburukkan lagi keadaan pesakit,” katanya.

hospital tanjong karang 01Beliau menggesa kerajaan pusat menangani masalah itu secara serius dan tidak memperjudikan nyawa pesakit disebabkan perkara yang boleh ditangani tetapi tidakdiendahkan.

Sebelum ini, terdapat aduan bahawa kakitangan hospital terpaksa mengambil alih kerja mencuci tandas dan wad di kebanyakan hospital kecuali Hospital Serdang.

Dilaporkan, hanya 13 orang daripada 135 orang dihantar oleh Radicare untuk kerja pembersihan di Hospital Klang dan keadaan di beberapa hospital di Selangor sudah di tahap ‘huru-hara’ bukan sahaja disebabkan kebanjiran begitu ramai pesakit tetapi ekoran timbulnya masalah kebersihan serta kutipan sampah.

Difahamkan, Radicare diberikan kontrak kerja pembersihan di semua hospital sejak 2013, namun syarikat terbabit mengurangkan tenaga kerjanya daripada 120 orang kepada 20 orang sahaja di setiap hospital.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.