Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar guna katil ICU di Putrajaya, Labuan, sembilan negeri bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta sembilan negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 23 Februari kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa Covid-19 hari ini berkata negeri terbabit adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Bagi katil kes kritikal atau ICU, lima negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan dengan 83 peratus, Kuala Lumpur dan Johor masing-masing 65 peratus, Melaka (58 peratus) dan Perlis (55 peratus).

“Bagi katil bukan ICU, 12 negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan (101 peratus), Selangor (97 peratus), Perak (90 peratus), Kuala Lumpur (87 peratus), Perlis (81 peratus), Putrajaya (77 peratus), Johor (75 peratus), Pahang dan Sabah masing-masing 71 peratus manakala Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak masing-masing 52 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 31,199 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,305,157 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,804 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 194 kes atau 0.62 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 31,005 kes atau 99.38 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 194 kes bagi kategori tiga, empat dan lima, 153 daripadanya adalah tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi atau telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 20,399 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,994,840.

Dalam pada itu, beliau berkata individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir janji temu tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,”katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS salur RM1 juta kepada institusi perubatan tangani Covid-19

SHAH ALAM, 20 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan RM1 juta kepada institusi perubatan awam serta petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata RM800,000 daripadanya diperuntukkan kepada 12 hospital bagi membeli katil, tilam, alat bantuan pernafasan, kerusi roda dan tong oksigen.

“Ini sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kami kepada pihak hospital dalam menangani penularan wabak. Setiap hospital menerima sumbangan antara RM30,000 hingga RM100,000 bergantung kepada keperluan.

“Bantuan menggunakan dana pengurusan operasi amil ini merupakan satu daripada 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman di Hospital Serdang.

Agihan sumbangan RM100,000 (Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang,Hospital Ampang); RM90,000 (Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang); RM80,000 (Hospital Universiti Teknologi Mara); RM50,000 (Hospital Shah Alam, Hospital Banting, Hospital Kajang); RM30,000 (Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tanjong Karang, Hospital Sabak Bernam).

Saipolyazan berkata baki peruntukan inisiatif diserahkan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) Maeps, Pusat Penilaian Covid-19 Stadium Melawati, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Bestari Jaya dan PPV Dewan Sivik MBPJ, petugas barisan hadapan serta orang awam.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta bagi menjayakan 19 inisiatif menerusi Zakat Selangor Peduli yang bertujuan membantu golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif secara berperingkat sehingga Disember tahun ini dijangka memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit Covid-19 enggan terima rawatan tidak dibenar keluar hospital

GEORGE TOWN, 14 SEPT: Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak membenarkan seorang pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) untuk pulang ke rumah kerana berisiko menyebarkan wabak tersebut sekiranya keluar dari hospital.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Ma’arof Sudin berkata pesakit itu, Affendy Mohd Yusof dimasukkan ke wad ICU di HPP selepas disahkan positif Covid-19 dan berada di tahap empat.

Katanya, hasil pemeriksaan awal menunjukkan penurunan kadar oksigen dalam darah pesakit pada tahap membimbangkan dan rawatan terapi oksigen sudah dijalankan.

Bagaimanapun, beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati keadaan pesakit bertambah kritikal dan perlu distabilkan dengan menggunakan alat bantuan pernafasan ventilator.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dan video yang ditularkan dalam media sosial Facebook semalam berkenaan isu Affendy yang mendakwa dirinya paksa ditahan di ICU dan menghubungi Gerakan Post-Mortem Covid-19 (GPMC) untuk meminta bantuan agar dapat keluar daripada hospital berkenaan.

GPMC adalah sekretariat gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa membantu mangsa atau waris mangsa yang mengalami kerugian dah kehilangan akibat pengambilan vaksin.

Dr Ma’arof, dalam kenyataan semalam berkata pegawai perubatan pakar rawatan rapi dan ICU telah memaklumkan dan memberi penjelasan tentang keadaan kritikal itu kepada pesakit dan ahli keluarganya.

Menurutnya, pihak hospital juga telah menjelaskan berulang kali akan keadaan kritikal itu kepada ahli keluarga dan pesakit sendiri tentang risiko yang boleh membahayakan nyawa pesakit sekiranya tidak membenarkan pihak hospital memberikan rawatan tersebut.

Katanya, namun pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang disyorkan dan berkeras mahu pulang atas risiko sendiri.

Beliau berkata pihak hospital tidak dapat membenarkan pesakit berkenaan pulang ke rumah kerana bimbang akan risiko pesakit menyebarkan jangkitan Covid-19 kepada orang lain serta keadaan pesakit yang kritikal.

Mengenai dakwaan tidak dibenarkan makan selama empat hari ketika berada di ICU di hospital tersebut, Dr Ma’arof berkata pihak HPP menafikan perkara itu dan mengatakan pesakit di ICU diberikan makanan dalam bentuk cecair seperti susu untuk memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi.

“Pihak hospital sentiasa prihatin dan meneruskan pemantauan terhadap pesakit itu dan akan berhubung untuk memberi maklumat berkala dengan ahli keluarga pesakit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung Langkawi diingat patuh SOP, elak jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian itu.

“Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit Covid-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan Covid-19 sebanyak 142 katil.

Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

“Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah.

“Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

“Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes Covid-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Peratus guna katil pesakit Covid-19 di Selangor turun sehingga 57 peratus

SHAH ALAM, 9 SEPTEMBER: Peratus penggunaan katil hospital di Selangor bagi merawat pesakit Covid-19 terus menunjukkan penurunan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kapasiti dan peratus menurun itu adalah impak dari program vaksinasi yang diadakan secara meluas di Lembah Klang.

“Kapasiti dan peratus penggunaan katil hospital di Selangor terus mencatatkan penurunan sehingga mencecah 57 peratus. Ini adalah impak utama hasil kadar vaksinasi yang tinggi di Lembah Klang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau juga turut berkongsi data penggunaan katil dari Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan hanya 57 peratus dari 4,019 katil bukan unit rawatan rapi (ICU) digunakan.

Manakala wad ICU bagi merawat pesakit kritikal kadar penggunaan katil adalah 94 peratus dari 317 katil.

Pada 2 September lalu, berdasarkan data dikongsi Kementerian Kesihatan di Facebook, sebanyak 66 peratus daripada 4,247 katil di wad bukan ICU diguna.

Penggunaan 350 katil di ICU tiga hospital itu pula pada kadar 99 peratus bagi merawat pesakit kategori kritikal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital bukan rawat Covid-19 turun kepada 77 peratus

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit wabak di hospital yang bukan merawat kes Covid-19 dan hibrid di Selangor menurun kepada 77 peratus sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan situasi berkenaan berbeza dengan sebelum ini apabila semua hospital itu mencatatkan 130 peratus penggunaan katil ICU.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman bagaimanapun berkata kadar penggunaan katil ICU di empat hospital khusus merawat Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Selayang dan Hospital Serdang masih tinggi sekitar 94 hingga 100 peratus.

“Keadaan pesakit sangat kritikal dan komorbiditi pesakit yang kompleks menyebabkan mereka memerlukan rawatan serta pemerhatian lebih lama di ICU.

“Selain itu, kadar penggunaan katil di wad untuk hospital khusus merawat pesakit wabak dan hibrid Covid-19 menurun kepada 55 peratus berbanding 150 peratus sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 4,723 pesakit Covid-19 daripada pelbagai kategori sedang dirawat di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) setakat hari ini.

Menurutnya, jumlah itu menurun berbanding 6,613 pesakit pada Ogos dan 7,080 pada Julai.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga hospital di Selangor terima alat kesihatan syarikat Jerman

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menerima sumbangan peralatan kesihatan daripada syarikat kimia Jerman, BASF Malaysia, untuk diagihkan bagi kegunaan di tiga hospital Covid-19 di Lembah Klang.

Hospital terbabit ialah Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang.

Peralatan kesihatan yang disumbangkan BASF termasuk ventilator untuk kegunaan unit rawatan rapi, sistem ultrasound digital berprestasi tinggi, sistem ultrasound tangan digital, C-Mac video laryngoskop, pakej laryngoskop video pakai buang, humidifiers dengan penjana aliran bersepadu (HFNC), sistem pemantauan pesakit berpusat, endoskop video intubation fleksibel dan pam picagari.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah menerima sumbangan yang diserahkan Pengarah Urusan BASF Goh Eng Leong dalam satu majlis ringkas di sini.

“Sumbangan ini dijangka dihantar ke tiga hospital berkenaan minggu ini bagi membantu meringankan bebanan fasiliti kesihatan awam,” kata Mohd Shafiq kepada media selepas menerima sumbangan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

750 anggota ATM bantu hospital di Lembah Klang kendali kes Covid-19

KLANG, 8 OGOS: Seramai 750 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan di hospital-hospital sekitar Lembah Klang bagi membantu petugas kesihatan mengendalikan kes-kes berkaitan Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata khidmat anggota pertahanan itu diperlukan, antaranya bagi membantu membawa tong-tong oksigen kepada pesakit yang berkenaan.

“Dulu ada timbul isu tenaga kerja untuk memberi bantuan oksigen. Itu memerlukan tenaga kerja dan ATM menyediakan 750 anggota untuk membantu hospital di seluruh Lembah Klang termasuk 90 anggota ATM di tempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

“Sebab satu balang itu boleh beri oksigen selama lapan jam, jadi selepas habis oksigen itu kita mahu terus bagi yang baharu, jadi kita tak nak ada ‘lagged’ (kelewatan) yang boleh membahayakan pesakit,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mendengar taklimat kira-kira sejam bersama kepimpinan HTAR, Klang di sini mengenai status pengoperasian dan rawatan kepada pesakit Covid-19 dan pesakit bukan Covid-19.

Ismail Sabri berkata ini antara perkara yang ditambah baik dan beberapa perkara lain akan ditambah baik lagi, termasuk prosedur perolehan untuk pembelian ubat-ubatan serta peralatan perubatan lain.

“Jadi kalau boleh kurangkan birokrasi dan kurangkan birokrasi perolehan, kerana ini boleh dianggap sebagai kecemasan…jadi boleh diketepikan sedikit prosedur, jika tidak ia akan memakan masa…ini saya akan bincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Selain itu, katanya van-van ambulans seperti Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan Saint John mungkin akan diberi token atas khidmat bakti yang diberikan.

“Sekarang memang mereka membantu kita tetapi secara sukarela, jadi mungkin kita boleh bincang kalau ada peruntukan boleh beri sedikit token kepada mereka untuk membantu mengambil pesakit dengan segera dari rumah,” katanya

Sementara itu, Ismail Sabri berkata HTAR telah melakukan penambahan 578 katil termasuk 100 katil di hospital medan untuk menampung peningkatan pesakit Covid-19.

“Setakat hari ini, hospital ini mempunyai 1,264 katil iaitu 900 untuk pesakit Covid-19 manakala selebihnya katil bagi pesakit bukan Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan kesihatan negeri dapat RM940 juta urus pandemik

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Sejumlah RM940 juta telah disalurkan kepada semua jabatan kesihatan negeri bagi tujuan pelaksanaan perolehan untuk mengurus pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata antara pelaksanaan terkini adalah perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan, kerja menaik taraf taraf hospital susulan penukaran status kepada hospital Covid-19, seperti Hospital Selayang yang bertukar status pada 21 Julai lepas.

“Alhamdulillah semua jabatan ini melaksanakan urusan perolehan dengan penuh integriti dan transparent demi menjaga kepentingan pesakit ” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Shafiq berkata perolehan juga digunakan untuk mendirikan hospital medan di Hospital Selayang serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan akan dikembangkan ke Melaka.

Beliau berkata sejumlah peruntukan juga diberi untuk meningkatkan keupayaan logistik seperti katil dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta menangani isu bekalan oksigen.

Dari segi logistik, Mohd Shafiq berkata ia termasuk kenderaan diubah suai kepada ambulans yang boleh memuatkan 20 pesakit untuk dibawa ke fasiliti kesihatan untuk rawatan segera susulan kadar kematian sebelum tiba ke hospital (BID) yang tinggi.

Beliau berkata mobilisasi penugasan sumber manusia juga dilakukan dengan mengisi jawatan tetap di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan permohonan penambahan jawatan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya hampir 9,000 jawatan diisi secara kontrak untuk ditempatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta penugasan dari fasiliti lain ke Lembah Klang melibatkan lebih 2,490 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata 170 pegawai pergigian dan 85 pegawai farmasi ditempatkan sementara untuk membantu di pusat saringan dan pusat pemberian vaksin.

Mohd Shafiq berkata KKM juga akan berbincang dengan JPA untuk menambah petugas bukan kesihatan untuk membantu aktiviti pengesanan kontak.

Beliau berkata KKM juga menjaga kebajikan petugas barisan hadapan dengan pemberian elaun khas Covid-19 melibatkan hampir RM760 juta disalurkan kepada 1.5 juta orang sehingga 10 Julai lalu.

Selain elaun, beliau berkata petugas barisan hadapan juga diberikan pendedahan mengenai isu kesihatan mental dan penjagaan kesihatan mental kendiri dalam memastikan tahap kesihatan mental berada dalam keadaan yang baik.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Satu lagi hospital di Selangor jadi hospital rawat Covid-19 sepenuhnya

BANGI, 10 JULAI: Sebuah lagi hospital di Selangor akan dijadikan hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya sebagai strategi mendepani kemasukan pesakit Covid-19 yang tinggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Buat masa ini, terdapat dua hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya di Selangor iaitu Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh.

“Hospital itu akan kita umumkan apabila tiba masanya. Buat masa ini persiapan sedang dijalankan bagi memastikan hospital itu bersedia menerima pesakit Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Pangsapuri Sri Ayu di sini hari ini.

Dr Sha’ari berkata kemudahan kesihatan awam di Selangor juga telah ditambah lebih banyak katil dan lebih banyak wad dibuka.

Hospital Serdang umpamanya sudah ada pertambahan 100 katil manakala di Hospital Ampang pula kira-kira 50 katil tambahan yang disediakan boleh digunakan dengan segera, katanya.

Beliau berkata Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) di Sungai Buloh sedang dalam perancangan untuk diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) yang boleh menempatkan 1,200 pesakit dalam satu-satu masa.

Mengenai kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Sha’ari berkata beberapa inisiatif telah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan antaranya menjadikan pusat rawatan harian hospital itu sebagai tempat merawat pesakit Covid-19.

“Buat masa ini, pusat rawatan harian di HTAR tidak akan menerima pesakit bukan Covid-19 untuk tempoh tertentu. Pada minggu hadapan, akan ada tambahan 150 katil di HTAR, jadi saya yakin HTAR masih mampu menampung sekiranya ada pertambahan kes baharu Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peluang jadi sukarelawan kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 masih terbuka

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Peluang untuk menjadi sukarelawan dalam kajian klinikal fasa 3 Vaksin Covid-19 masih terbuka, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam kenyataan menerusi laman Twitter rasmi KKM, kementerian itu memaklumkan antara syarat yang diletakkan adalah pemohon perlu berusia 18 tahun ke atas dan sihat.

Mereka yang berminat dan mahukan maklumat lanjut boleh menghubungi antara sembilan hospital yang menjadi tapak kajian tersebut menerusi aplikasi WhatsApp iaitu Hospital Ampang, Selangor (016-7286617 dan Telegram); Hospital Umum Sarawak, Sarawak (012-3108108); Hospital Pulau Pinang, Pulau Pinang (014-9453599) dan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang (014-9065518).

Selain itu, boleh juga menghubungi Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah (019-5544976); Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak (011-63311654); Hospital Taiping, Perak (019-5544976); Hospital Sungai Buloh, Selangor (011-10045343) dan Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah (017-7931938, 017-7931987, 011-57669114).

Rata-rata maklum balas yang diterima Bernama apabila menghubungi talian-talian tersebut adalah borang perlu diisi secara dalam talian ataupun secara terus menerusi aplikasi WhatsApp sambil memberi pautan untuk maklumat lanjut, sebelum mereka mengambil tindakan seterusnya dan menghubungi pemohon.

Bagaimanapun, setakat ini tapak kajian di Hospital Ampang sudah mempunyai sukarelawan yang mencukupi, namun pihak terbabit memberi pautan untuk mengisi borang secara dalam talian bagi membolehkan mereka yang berminat dalam percubaan vaksin pada masa hadapan.

Pada 27 Januari, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan berkata kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 dimulakan pada hari tersebut di sembilan hospital berkenaan melibatkan 3,000 sukarelawan.

Beliau berkata kajian klinikal itu ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan objektif untuk menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19.

Sembilan hospital yang terlibat dalam percubaan klinikal itu adalah di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Ubah tingkah laku bukan bina banyak hospital

PUTRAJAYA, 29 JAN: Membina lebih banyak hospital tidak akan dapat menyelesaikan masalah Covid-19 sekiranya orang ramai tidak mengubah tingkah laku mereka, kata Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Beliau berkata dalam menangani pandemik itu, langkah awal perlu bermula dengan orang ramai mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 dan mempengaruhi mereka di sekeliling.

“Kita perlu mengubah tingkah laku kita. Kita perlu membantu, fikirkan petugas barisan hadapan yang berjuang, bekerja keras dan tertekan,” katanya dalam sesi webinar bertajuk: Perniagaan Dalam Era Covid-19: Menetapkan Semula Senario Perniagaan dengan Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang bertindak sebagai moderator pada sesi berkenaan yang turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd Datuk Seri Idris Jala.

Dr Jemilah juga menzahirkan kebimbangan negara kurang maju mempunyai akses yang terhad kepada vaksin Covid-19 kerana negara kaya membeli lebih daripada yang mereka perlukan.

“Di mana kita akan mendapatkan vaksin kita jika semuanya dimonopoli oleh Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah? Di manakah peluang bagi negara yang kurang maju mendapatkannya?

“Hampir seperti aparteid, yang anda tahu, hanya orang yang memiliki sijil vaksin boleh melakukan perjalanan dan berniaga ketika negara membangun tidak memiliki akses,” kata beliau sambil menambah keadaan itu menuntut penyusunan semula nilai-nilai asas dan kemanusiaan.

Sementara itu, Jala berkata Covid-19 muncul sebagai cabaran besar bagi perniagaan dengan perangkaan menunjukkan kira-kira 34,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini ditutup hingga Oktober tahun lepas.

Beliau yang menggesa syarikat supaya mencipta semula diri dengan mempraktikkan ESSA (Eliminate, Simplify, Standardize and Automate – menghapuskan, memudahkan, menyeragamkan dan mengautomasikan), berkata: “Saya selalu memberitahu orang, dalam krisis seperti ini, jangan sia-siakan peluang, orang tahu perlu melakukan ESSA. Saya percaya menjadi suatu keperluan bagi setiap syarikat untuk melalui proses ESSA, sementara masih dalam proses sekatan pergerakan.”

Beliau mencadangkan agar kerajaan dan syarikat mengambil pendekatan secara usaha sama untuk beralih kepada digital dan memberi contoh tahun lepas sahaja, Amazon mencatat kenaikan 34 peratus dalam jualan global kepada US$330 bilion, manakala Alibaba mencapai jualan US$74 bilion dalam hanya sehari pada November.

“Ini adalah peluang besar bagi Malaysia untuk melonjak ke depan dalam digital, ia tidak boleh dilakukan oleh kerajaan, dengan bersendirian melakukan semua infrastruktur. Syarikat perlu bersama-sama dan mengambil kesempatan ini, daripada meratap tentang Covid-19,” katanya.

-BERNAMA