Categories
NASIONAL

Perbicaraan saman fitnah Nurul Izzah terhadap Utusan ditetap 14 April ini

Oleh: MOHD EZLI MASHUT

KUALA LUMPUR 8 JAN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dmenetapkan 14 April ini untuk perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap Utusan Melayu (M) Bhd berhubung laporan akhbar itu berkenaan kenyataan kebebasan agama.

Hakim Hue Siew Kheng membenarkan permohonan daripada Utusan untuk meminda jadual perbicaraan yang sepatutnya berlangsung dari 22 hingga 24 Januari kepada 14, 15 dan 18 April ini.

Saman itu membabitkan empat artikel yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia antara 5 dan 7 November lalu yang didakwa Nurul Izzah sebagai memfitnah beliau.

Nurul_Izzah editTajuk artikel itu adalah ‘Melayu bebas pilih agama? Rakyat tidak harus dipaksa amal ajaran tertentu – Nurul Izzah Anwar’ yang diterbitkan di muka hadapan, bertarikh 5 November dan ‘Nurul Izzah cuba gadai Islam, Melayu’’ diterbitkan di muka surat lima, 6 November lalu.

Artikel lain adalah ‘Naib Presiden PKR letak akidah lebih rendah daripada politik’’ diterbitkan di muka surat lima, 6 November dan ‘‘Kenyataan Nurul Izzah bertujuan jadikan Malaysia negara pluralisme agama’’ diterbitkan di muka surat lima, 7 November lalu.

Nurul Izzah selaku plaintif menamakan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu sebagai defendan pertama dan kedua.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memfailkan saman melalui firma guaman, Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, pada 23 November lalu.

Nurul Izzah memohon kepada mahkamah supaya pihak defendan memohon maaf, permohonan menarik balik kenyataan dan sejumlah ganti rugi.

Beliau juga menuntut defendan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah itu semula.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.