Categories
NASIONAL

PKR tawar jadi orang tengah bantu selesai isu rampasan Bible

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 3 JAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan diri menjadi orang tengah bagi mempertemukan semua pihak yang terbabit dalam kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata PKR menyatakan rasa prihatin terhadap konflik yang berlaku dan berpendapat segala salah faham serta prejudis di kalangan sebahagian penganut agama Islam dan Kristian boleh diselesaikan secara praktis juga harmoni.

Nur-Manuty“PKR yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu keagamaan adalah cara terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut agama Islam dan Kristian di negara ini berterusan.

“Sesungguhnya, ketegangan hidup beragama adalah bertentangan dengan prinsip beragama, Perlembagaan Malaysia dan amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhammad berharap dialog dan rundingan yang bakal dianjurkan kelak dapat memberi kesedaran serta kefahaman berkenaan kepentingan budaya dialog antara masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR berkata, pertemuan berkenaan akan menjadi medan sesuai yang bersifat interaktif dan akan mengumpulkan pandangan secara objektif berkenaan keresahan serta kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk dicari penyelesaian terbaik oleh semua pihak.

Semalam, JAIS menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara dan merampas 300 Bible dalam bahasa Iban dan Melayu.

JAIS turut menahan dua pegawainya iaitu Pengerusi PBM, Lee Min Choon dan Setiausaha Agung, Simon Wong untuk dibawa ke Balai Polis Damansara Utama.

Pada masa sama, Dr Muhammad berkata, konflik dan ketegangan negara masa kini menampakkan dengan jelas bahawa perhubungan dan persefahaman rakyat Malaysia masih berada ditahap membimbangkan.

“Justeru, bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku, PKR sentiasa menganjurkan supaya disuburkan budaya interaktif untuk mewujudkan iklim kondusif ke arah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.