Categories
NASIONAL

Status negara maju jadi igauan ngeri rakyat

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Impian status negara maju harus memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat, namun yang berlaku adalah sebaliknya, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Katanya, impian itu kini menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang harus dikorbankan melalui peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Khairuddin berkata, walaupun perbahasan kenaikan itu agak kompleks, namun cukup jika dikatakan berpunca daripada polisi rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan beban kewangan awam demi mengejar status negara maju dan berpendapatan tinggi, enam tahun lagi.

dr khairuddin pas“Kerajaan Malaysia menjadi umpama ketam mengajar anak berjalan betul. Jika kerajaan menyalahkan rakyat kerana sikap dan gaya hidup menyebabkan tekanan kewangan peribadi, maka tabiat buruk yang sama sebenarnya diwarisi daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Harakah Daily, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, berkata beban kewangan awam adalah akibat daripada pengurusan kerajaan yang tidak pruden.

“Mengapa perbelanjaan tambahan 2012 diluluskan RM12.17 bilion pada pertengahan tahun lalu. Mengapa ketirisan yang didakwa oleh Menteri Kewangan Kedua dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 berjumlah RM1.5 bilion.

“Mengapa hutang kerajaan konsisten meningkat daripada tahun 2001 sehingga mencapai kemuncak paling tinggi pada tahun 2012 iaitu RM502.4 bilion bersamaan 53.7% daripada KDNK. Setiap rakyat menanggung hampir RM17,000,” katanya.

Katanya, sudah tiba masa rakyat bangkit menolak polisi dan dasar ekonomi membebankan yang sedang dilaksana serta dipraktikkan kerajaan.

“Pilihan raya masih jauh, namun ia tidak bererti rakyat perlu berdiam diri dan tunduk pada apa yang berlaku.

“Protes sekurang-kurangnya di alam maya perlu digerakkan bagi menggambarkan ketidakpuasan hati rakyat. Kerajaan perlu diberi peringatan oleh rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.