Categories
NASIONAL

Anwar: Tun M gagal pulih hubungan dengan Tunku

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG 11 FEB: Hubungan antara Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal dipulihkan walaupun beberapa usaha dijalankan Tun Dr Mahathir ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengimbas kembali peristiwa itu berkata, antara usaha yang dijalankan termasuk mengadakan jamuan besar-besaran untuk meraikan Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu.

Anwar“Di era Tun Dr Mahathir dia cuba (memulihkan hubungan) dengan mengadakan jamuan secara besar-besaran untuk meraikan beliau di Kuala Lumpur dengan Sharifah Aini menyanyikan lagu Kuda Ku Lari Gagah Berani ditujukan khas kepada Tunku Abdul Rahman sebab dia peminat lumba kuda tetapi dia tidak berjaya sedikit pun memperbaiki hubungan antara mereka berdua.

“Semasa saya Ketua Pemuda Umno, berulang kali membawa rombongan berjumpa Tunku Abdul Rahman dan cuba memberi penjelasan bagi melegakan hubungan beliau dan Tun Dr Mahathir tetapi tidak berhasil kerana Tunku masih menganggap bahawa perjalanan dan pemikiran Tun Dr Mahathir lari meninggalkan landasan yang beliau anggap perjuangan Umno dan negara berteraskan perlembagaan,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian dalam ucapan beliau dalam Forum Legasi Tunku Abd Rahman yang diadakan di Auditorium Kolej Universiti New Era malam tadi sempena ulang tahun yang ke-111 kelahiran Tunku pada 8 Februari lalu.

Selain itu, persengketaan antara Tunku dan Tun Mahathir juga dikatakan sudah bermula sejak Tun Mahathir memulakan serangan terhadap Tunku dengan melayangkan surat terbukan beliau ketika Tunku masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Anwar ketika menyingkap kembali hubungan beliau dengan Tunku berkata, Tunku pernah secara berseloroh pernah menganggap beliau sebagai ‘great fighter’ tetapi membayangkan tidak menyangka beliau menyertai Umno.

Anwar ketika menutup ucapannya berkata, Legasi Tunku Abdul Rahman tidak lebih dari memastikan keselamatan kesatuan bangsa di Malaysia terjamin dengan berteraskan perlembagaan.

Selain Anwar, turut menyampaikan ucapan dalam forum yang dihadiri kira-kira 200 hadirin itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; penasihatan DAP, Lim Kit Siang; Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS untuk Pilihan Raya Kecil Kajang, Dr Hatta Ramli dan bekas Pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.