Categories
NASIONAL

Anwar: Tunku kritik tajam isu perlanggaran perlembagaan tetapi tidak dilayan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG 12 FEB: Isu kerajaan tidak menghormati dan melanggar Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu perkara baru, malah isu ini sudah timbul selepas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman bersara dari semua jawatan politik beliau.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara ini pernah disuarakan Bapa Kemerdekaan itu menerusi artikel tulisan beliau yang disiarkan akhar The Star.

Anwar Khalid1“Kehebatan dia bukan sahaja meletakkan asas negara Malaya dan kemudiannya Malaysia tetapi terus berjuang mempertahankan idealisme dan prinsip asas kemerdekaan negara. Dia tidak bertolak ansur sama sekali dalam soal menjanjikan Malaysia ini dengan asas perlembagaan.

“Suara beliau dan penulisannya terutama bila beliau bebas dan merdeka menulis di akhbar The Star ketika akhbar itu masih lagi bebas bukan terkongkong seperti yang ada sekarang. Tunku menulis dan memberikan teguran dan peringatan yang tajam tentang pelanggaran prinsip perlembagaan, perlanggaran hukum, keangkuhan kuasa.

“Tentu Perdana Menteri selepas itu khususnya Almarhum Tun Abdul Razak tidak memberi layanan, penghormatan atau pengiktirafan kepada beliau,” kata Anwar dalam Forum Legasi Tunku Abdul Rahman yang diadakan di Auditorium Kolej Universiti New Era di sini.

Kata Anwar, Kerajaan Pusat semasa Tunku juga didapati lebih bertimbang rasa dengan mempratikkan pendekatan diplomatik terhadap kumpulan gerakan kiri yang menentang beliau dan juga media-media yang melakukan serangan terhadap pentadbiran kerajaan ketika itu.

Justeru itu, Anwar menggesa agar semua pihak bersetuju untuk berdialog dalam Konsesus Nasional bagi memperkukuhkan perlembagaan negara sekaligus memastikan hubungan antara kaum di negara ini terus harmoni.

“Dalam mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) saya ada mengemukakan Konsesus Nasional bagi membincangkan isu kaum, agama, pengurusan tata kelola negara.

“Ini bukan perkara baru, ini hal-hal yang termaktub dalam perlembagaan yang harus kita kukuhkan dalam semangat perlembagaan,” kata Anwar lagi.

Selain Anwar, turut menyampaikan ucapan dalam forum yang dihadiri kira-kira 200 hadirin itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; penasihatan DAP, Lim Kit Siang; Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS untuk Pilihan Raya Kecil Kajang, Dr Hatta Ramli dan bekas Pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.