Categories
SELANGOR

Exco: Ahli Majlis dilantik berdasarkan kelayakan dan keseimbangan

Oleh: Norhayati Umor

PETALING JAYA 24 FEB : Kerajaan Negeri membuat perlantikan semula ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan kelayakan pendidikan dan kesimbangan penyertaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan wanita.

Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail, berkata demikian bagi mengulas isu 42 ahli majlis tidak dilantik semula pada penggal baru ini.

rodziah pc green 20 jul 01“Sebenarnya yang layak memberikan komen adalah Datuk Teng Chang Khim (Exco Kerajaan Tempatan), tetapi saya boleh kata dalam perbincangan kami, ada beberapa perkara yang kita lihat.

“Ramai yang kata ini merupakan isu parti tetapi tidak. Ia mengenai keseimbangan komposisi NGO dan wanita yang mana sebelum ini senarai nama yang diberi itu tidak menepati apa yang Kerajaan Negeri perlukan.

“Jadi kita seimbangkannya antara parti, NGO dan wanita untuk mencapai tahap penyertaan wanita 30 peratus,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Seminar Kesihatan Sempena Hari Kanser Sedunia 2014, semalam.

Rodziah berkata MPN akan mengemukakan senarai yang baru termasuk 42 orang itu hujung bulan ini.

“Kita sudah bincang, nanti MPN akan kemukakan senarai yang baru tetapi tidak pasti dalam konteks apa.

“42 orang ini diminta penambahbaikan atas arahan Menteri Besar. Bagi yang sudah ‘clear’, yang belum pasti, kita serahkan pada MPN untuk pastikan gabungan itu dapat ditetapkan sebaik mungkin. Tarikh itu sampai hujung bulan untuk mereka kemukakan semula.

“Setakat ini, perbincangan baik dengan MPN, kami harap senarai kedua ini akan mencerminkan apa yang kerajaan negeri mahukan,” katanya.

Untuk rekod, PKR mengemukakan 120 nama (ahli PKR) untuk dilantik menjadi ahli majlis. Sementara Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad mengemukakan 67 nama (ahli PAS) dan Datuk Teng Chang Kim mengemukakan 92 nama (ahli DAP) untuk tujuan yang sama.

Seramai sembilan Orang Besar Daerah turut dilantik untuk jawatan itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.