Categories
SELANGOR

Kajian UMCEDEL: 60% Pengundi Melayu Kajang kata isu kalimah Allah tak bantu BN

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 22 FEB: Kaji selidik dijalankan Kajian Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) baru-baru ini menunjukkan 55 peratus pengundi yang bakal mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang berpendapat isu kalimah Allah bukan faktor mendorong sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam kaji selidik melibatkan 576 responden yang dipilih secara rawak daripada pelbagai latar belakang sekitar Kajang itu mendapati hanya 17 peratus sahaja pengundi bersetuju terhadap kenyataan ‘Isu Kalimah Allah mendorong anda menyokong BN’ manakala 28 peratus yang lain menjawab tidak pasti.

IMG_4156aPengarah UMCEDEL Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian yang dijalankan pada 14 hingga 15 Febuari itu turut mendapati sebanyak 60 peratus pengundi berbangsa Melayu tidak bersetuju bahawa isu yang melibatkan sentimen keagamaan itu mendorong mereka menyokong BN berbanding 21 peratus bersetuju dan selebihnya 19 peratus lagi menjawab tidak pasti.

“Kajang merupakan satu tempat yang memiliki akses kepada maklumat yang tinggi khususnya menerusi internet dan mereka tidak bergantung kepada media arus perdana sahaja.

“Ini jelas menunjukkan walaupun media arus perdana cuba memberi gambaran yang berbeza tetapi tidak menggambarkan keadaan sebenar masyarakat di Kajang,” kata Dr Mohammad Redzuan dalam sidang media di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) di sini Khamis lalu.

UMCEDEL kalimahSementara itu dalam soalan sama, sebanyak 54 peratus pengundi Cina turut berpendapat isu kalimah Allah ini tidak memberi kesan positif terhadap pola sokongan kepada BN dalam PRK yang diadakan pada 23 Mac nanti berbanding 13 peratus bersetuju, manakala 33 peratus lagi tidak pasti.

Bagi pengundi berbangsa India pula, sebanyak 36 peratus tidak bersetuju, tujuh peratus setuju dan 57 peratus lagi menjawab tidak pasti.

Dalam soalan sama mengikut pecahan penempatan pula mendapati 85 peratus pengundi dari kampung-kampung sekitar Kajang yang lazimnya didiami masyarakat Melayu juga menganggap isu Kalimah Allah tidak membantu sokongan terhadap BN berbanding cuma 15 peratus berpendapat sebaliknya dan kosong peratus tidak pasti.

Ini diikuti 65 peratus masyarakat yang mendiami kuarters kerajaan, rumah pangsa, pangsapuri dan kondominium berpendapat isu ini tidak membantu BN berbanding 22 peratus mengatakan bersetuju dan selebihnya13 peratus lagi tidak pasti.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.