Oleh : NAZLI IBRAHIM
PETALING JAYA 21 FEB: Kaji selidik dijalankan Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati pengundi Kajang menganggap pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempengaruhi keputusan mereka untuk memberikan undi kepada BN dalam PRK DUN Kajang.
Dalam kaji selidik yang melibatkan 576 responden dari pelbagai latar belakang dan dipilih secara rawak itu menunjukkan 59 peratus mengatakan tidak bersetuju terhadap soalan ‘BR1M dan pemberian lain oleh kerajaan meningkatkan sokongan kepada BN’, 33 peratus bersetuju manakala lapan peratus yang lain menjawab tidak pasti.
Dari jumlah itu, 53 peratus pengundi Melayu menjawab tidak bersetuju terhadap soalan sama, 38 peratus bersetuju dan lapan peratus yang lain tidak pasti dan manakala bagi pengundi Cina 71 peratus mengatakan tidak setuju, 22 peratus bersetuju, tujuh peratus tidak pasti diikuti India 34 peratus tidak setuju, 53 peratus setuju dan13 peratus tidak pasti.
Keputusan kaji selidik itu dibentangkan Pengarah UMCEDEL Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman di Bilik Mesyuarat Dekan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.
“Bagi soalan berkaitan isu kenaikan harga barang yang berlaku sekarang pula memang jelas ia membantu menambah sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat (PR) dalam PRK Kajang nanti,” kata Dr Redzuan.
Kajian terbabit menunjukkan 69 peratus bersetuju bahawa peningkatan harga barang mendorong peningkatan sokongan kepada PR, 21 peratus menjawab tidak dan 10 peratus tidak pasti.
Dari jumlah itu, pengundi Cina merupakan paling ramai bersetuju isu yang melibatkan kos sara hidup rakyat membantu sokongan kepada PR dengan 76 peratus; India, 74 peratus dan Melayu 62 peratus.
Bagi golongan tidak bersetuju kenaikan harga barang membantu sokongan PR pula, Melayu 26 peratus; Cina 17 peratus dan India 13 peratus dan manakala selebihnya menjawab tidak pasti.
EZY