Categories
SELANGOR

MB: Demi rakyat, ketelusan dan kebertanggungjawaban jadi keutamaan

Oleh : Lizawati Madfa

KUALA LUMPUR 8 FEB : Dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Menteri Besar,tumpuan sepenuhnya adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan segelintir individu walaupun mereka bergelar kawan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata sebagai pemimpin tertinggi negeri ini, beliau memimpin bahtera Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor berasaskan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi asas perjuangan PR selama ini.

MB CNY BTRKatanya, setiap pihak seharusnya menghormati dan memahami tugas seorang Menteri Besar yang bekerja keras demi kemajuan pembangunan negeri dan kesejahteraan setiap rakyat di Selangor.

“Sepertimana yang saya lafazkan dalam sumpah di hadapan Tuanku Sultan (Selangor), saya perlu menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat Selangor tanpa membezakan sesiapa termasuk mereka yang bergelar kawan.

“Oleh itu, jika ada perkara yang perlu diperbetul dan diselidik, maka kita akan lakukan atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban tanpa mengira sesiapa,” katanya yang ditemui dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Bandar Tun Razak, hari ini.

Turut hadir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bersama 500 orang hadirin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan menamatkan kontrak 22 pekerja anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PKNS Holdings baru-baru ini.

Antaranya, Abdul Khalid digesa untuk menarik balik surat pemecatan jawatan serta meminta maaf kepada seluruh rakyat Selangor atas tindakan berkenaan.

“Kita tidak akan tarik balik dan kita juga tidak akan minta maaf kerana penamatan kontrak pekerja-pekerja ini dilakukan mengikut tatacara yang betul, sama seperti yang sering berlaku dalam syarikat-syarikat lain selama ini.

“Jika ada antara pekerja dalam sistem kontrak ini merasakan mereka diperlakukan secara tidak adil, mereka boleh ke mahkamah industri.

“Sudahlah, jangan buka lagi cerita ini. Kalau tidak, kepentingan rakyat Selangor dan kepentingan PKNS diabaikan kerana kehendak beberapa orang saja dan ini tidak boleh,” katanya lagi.

Beliau sebelum ini menjelaskan penamatan kontrak 22 pekerja PKNS Holdings dibuat selaras dengan prinsip Intergrity Pact PKNS yang merupakan sebahagian pelan penyusunan semula pengurusan PKNS di bawah Pengurus Besarnya, Azlan Alfiah.

Penamatan kontrak berkenaan dilaporkan mampu menjimatkan wang sebanyak RM7 juta setahun selain dijangka memberi lebih peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan tetap PKNS yang sebelum ini diberikan kepada orang luar dengan status kontrak.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.