Categories
SELANGOR

MB : Ibu bapa disaran galak anak jadi penghafaz

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 FEB : Ibu bapa disaran supaya menggalakkan anak untuk menjadi penghafaz sejak kecil bagi faedah diri dan keluarga termasuk dapat mengharumkan nama Selangor di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ibu bapa sewajarnya berperanan sebagai perangsang kepada anak menjadi huffaz dan Selangor turut menyediakan sekolah serta institusi yang menganjurkan kelas menghafaz al-Quran sebagai silibus pembelajaran.

Beliau berkata, kerajaan negeri memang berusaha gigih bagi memartabatkan pembelajaran dan penguasaan al-Quran terutama melalui pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

11“Selain menaikkan elaun guru KAFA daripada sekitar RM400 sebulan pada tahun 2008 kepada lebih RM1500 sebulan. Kerajaan negeri juga memberi bantuan kewangan dan peralatan kepada sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.

“Saya berharap dengan pelbagai bantuan yang diberikan, usaha murni ini dapat memberi motivasi kepada guru dan pelajar yang terbabit dalam bidang pendidikan al-Quran dan menarik minat mereka untuk menghafaznya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Menghafaz Al-Quran peringkat negeri Selangor di Masjid Negeri, di sini, semalam.

07Majlis yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu adalah program tahunan kerajaan negeri dalam usaha mendidik dan mengajak masyarakat untuk menghayati ayat suci al-Quran.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, adalah lebih baik jika terdapat golongan yang memahami al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian yang bersesuaian dengan kedudukan Selangor sebagai negeri maju.

Katanya, kemajuan dalam bentuk kebendaan pastinya lebih bermakna jika umat Islam di negeri itu menjalani kehidupan yang menepati kehendak syariat.

“Melalui kefahaman sahaja, segala tohmahan terhadap isi kandungan al-Quran dapat disangkal dan dijelaskan. Ia selaras dengan kaedah yang dilakukan Rasulullah SAW kepada sahabat iaitu mempelajari al-Quran dengan menguasai ilmu dan mengamalkannya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.