Categories
KENYATAAN MEDIA

Nik Nazmi: Pemberhentian ‘World Hijab Day’ di Singapura mendukacitakan

Adalah sangat mendukacitakan apabila World Hijab Day (Hari Tudung Sedunia) di Singapura telah dipaksa diberhentikan setelah kumpulan tersebut menerima ugutan dan tentangan daripada kerajaan Singapura.

Namun, tujuan World Hijab Day hanyalah untuk menyebarkan pemahaman agama dan kesedaran ke arah keamanaan sedunia pada 1 Februari 2014. Sejak itu, kumpulan tersebut telah dibubarkan.

World Hijab Day (WHD) merupakan satu kempen kesedaran antarabangsa yang telah dijalankan di serata dunia dan diterima oleh pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Belgium, Belanda, Perancis dan Australia.

world hijab

Kempen ini yang mempunyai duta di lebih 100 buah negara telah menunjukkan sokongan kuat daripada orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia dalam meningkatkan pemahaman agama dan penghapusan diskriminasi terhadap wanita bertudung.

Malaysia pula sangat aktif dalam usaha ini kerana terdapat peserta orang Islam dan bukan Islam yang memakai tudung telah berkumpul di beberapa kompleks beli-belah.

Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, Malaysia juga mempunyai duta-duta yang bukan beragama Islam iaitu, Carol Lee, Mrs. Universe 2013 dan Felixia Yeap yang menyokong usaha ini.

Oleh itu, tindakan kerajaan Singapura mengugut dan menentang kumpulan WHD Singapura sangat mengecewakan kerana ini dengan jelas merupakan diskriminasi terhadap orang Islam yang bertudung dan usaha-usaha untuk menyebarkan pemahaman agama sesama walaupun kita tinggal di dalam komuniti yang pelbagai.

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Timbalan Speaker DNS dan ADUN Seri Setia

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.