Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 5 FEB: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mencabar Barisan Nasional (BN) untuk segera menamakan calon bagi menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, pada 23 Mac ini.
Ketuanya, Azmizam Zaman Huri, berkata kegagalan BN untuk meletakkan calon yang sesuai akan membuktikan parti itu hanya tahu bercakap kosong sahaja dan tidak berani berhadapan Anwar dalam PRK kali ini.
Beliau berkata, pihaknya yakin BN kini sedang bergelut dengan isu perebutan kerusi antara Umno dan MCA, apatah lagi kedua-dua belah pihak didakwa meragui keupayaan satu sama lain.
“AMK Selangor mencabar BN untuk segera menamakan calon bagi membuktikan dakwaan mereka kononnya PKR tidak lagi relevan dan ditolak rakyat.
“Kami percaya BN hanya tahu cakap kosong tetapi hakikatnya tidak berani untuk menghadapi Anwar kerana respon mereka sama sekali berbeza berbanding lima tahun lalu sewaktu Anwar bertanding pada PRK Parlimen Permatang Pauh.
“BN juga sedang bergelut untuk menjadi jaguh di Kajang, namun sambutan hebat masyarakat pelbagai kaum di Kajang terhadap Anwar membantutkan niat mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Azmizam berkata, kajian UMCEDEL yang meramalkan Anwar bakal meraih majoriti lebih besar juga menambah kerisauan BN yang seringkali lantang memperlekeh Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata, ia adalah berdasarkan faktor calon, kekuatan jentera dan kesediaan rakyat untuk menerima perubahan dalam hala tuju pentadbiran di Selangor.
“Segera namakan calon mereka (BN) dan jangan hanya pandai bercakap tetapi hakikatnya takut berdepan kekalahan sekali lagi di DUN Kajang yang menjadi kubu kuat PR.
“Tidak ada gunanya hanya berani di media tetapi gagal terjemah sokongan rakyat di medan sebenar,” katanya.
-NFN-