Oleh : NAZLI IBRAHIM
SUBANG JAYA, 6 FEB: Sebelum Parti Keadilan Rakyat (PKR) memulakan langkah strategik yang dinamakan ‘Langkah Kajang’ parti itu terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS dan DAP.
Bercerita kembali kronologi siri pertemuan dengan pemimpin tertinggi DAP dan PAS, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kali pertama beliau mengadakan pertemuan dengan Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
“Pada 24 Januari lalu, saya mengambil penerbangan ke Johor Bahru terus ke Gelang Patah untuk bercakap dengan Lim Kit Siang. Kami berbincang berkenaan isu ini dan memperoleh pengesahan daripada DAP berdasarkan perbincangan itu.
“Selepas perletakan jawatan diumumkan pada jam 3.00 petang, PAS diwakili Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Salehuddin Ayub dan Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri berbincang kemungkinan Datuk Seri Anwar sebagai calon PRK Kajang, pada jam 9.00 malam. Esoknya (28 Januari), kami hadiri mesyuarat PR dan bersetuju memilih Anwar sebagai calon,” katanya.
Rafizi berkata demikian ketika memberikan penerangan panjang lebar kronologi siri perbincangan yang diadakan bersama pemimpin parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) berhubung isu berkenaan dalam forum bertajuk ‘Langkah Kajang’ yang diadakan, di Hotel Empire, di sini, semalam.
Bagaimanapun Rafizi memohon maaf kepada pemimpin PR lain daripada PAS dan DAP kerana tidak memaklumkan perkara itu sebelum ‘Langkah Kajang’ dimulakan.
Katanya, selepas itu PR mula mengambil langkah segera bagi memastikan masyarakat negara ini mendapat penjelasan yang secukupnya berhubung ‘Langkah Kajang’ itu.
Ketika menyentuh perletakan jawataan Chin Cheh, Rafizi menegaskan, tindakan itu dilakukan tanpa sebarang tekanan daripada sebarang pihak sebaliknya secara sukarela apabila mengetahui strategi itu harus dilaksanakan demi kepentingan Kerajaan PR Selangor dan langkah penting menuju Putrajaya.
-NFN-