SHAH ALAM 25 FEB: Gergasi bola sepak negara, Selangor tekad meleburkan impian kelab dari Indonesia, Arema Cronous menjelang perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.
Pasukan kendalian Mehmet Durakovic itu optimis untuk memungut mata penuh pada perlawanan pertama Kumpulan F itu dengan kelebihan beraksi di hadapan para penyokong sendiri.
“Kita akan bermain secara menyerang dalam perlawanan ini bagi memperoleh gol dan seterusnya mencipta kemenangan,” katanya.
Menurut Durakovic, mereka sudah bersedia untuk memberikan saingan dan pada masa sama berharap dapat menggunakan khidmat kesemua pemain importnya iaitu, Stilianos Pantedilis, Junior Aparecido, Paulo Rangel dan Andik Vermansyah.
Sementara itu, kapten Selangor, Bunyamin Omar mengakui beliau dan rakan sepasukan memiliki motivasi yang sangat baik bagi menghadapi pertemuan itu.
“Motivasi pemain sangat baik dan kita akan beraksi dengan baik untuk meraih tiga mata penuh,” katanya dipetik Sinar Harian Online.
Perlawanan itu akan berlangsung pada jam 8.45 malam.
EZY