SHAH ALAM 1 FEB: Selepas berakhir tiga perlawanan Liga Super, Red Giants menerajui takhta itu hasil dua kemenangan (T-Team , Pahang) dan satu kekalahan (Lions XII).
Walaupun perjalanan masih jauh, aksi selepas ini menentang pasukan berstatus kelab, SDFC yang baharu dinaikkan pangkat beraksi di Liga Super pastinya menghadirkan ancaman berbeza dan mampu menguji sejauh mana kehebatan pemain Merah Kuning.
Walaupun tiada sebarang tumpuan diberikan malah penyertaan Selangor dalam kancah saingan liga kali ini lebih menimba pengalaman memandangkan hampir separuh dibarisi pemain muda.
Hanya Bunyamin Umar, Mohd Fitri Syazwan, Abdul Shukur Jusoh, K Gurusamy dan S Kunalan orang lama yang masih setia bersama Red Giants.
Dibimbing jurulatih Mehmed Durakovic corak permainan pasukan kini dilihat berbeza malah lebih bertenaga dan mengamalkan corak permainan bersahaja serta tidak terburu-buru melancarkan serangan.
Paulo Rangel bekas penyerang Perak yang menyarung jersi Selangor musim ini membuktikan bisanya selaku pengempur apabila menjaringkan empat gol dengan kelebihan jaringan melalui tandukan
Tiga gol dalam saingan Liga Super dan satu Piala FA memberi amaran bahawa pemain tinggi lampai ini mampu digelar pencetak gol buat Selangor.
Junior De Souza juga tidak ketinggalan menerima sokongan peminat dan pengurusan apabila beraksi dipadang dengan kelincahan dan hantaran bola kepada rakan pastinya menghadirkan geruan buat lawan.
Berbadan kecil namun tegap selain mampu melakukan rembatan dari luar, Junior sememangnya menjadi pilihan Durokovic diturunkan selaku kesebelasan utama berbanding Andik Vermansyah.
Corak permainan bola bersahaja melalui hantaran pendek dikalangan pemain dilihat begitu berkesan buat pemain Selangor berdasarkan empat perlawanan sebelum ini.
Kombinasi Abdul Shukor Jusoh bersama K Gurusamy dibahagian tengah memperlihatkan perancangan jurulatih menjadi apabila banyak menguasai kawalan bola.
Benteng pula memperlihatkan kekentalan pemain import tinggi lampai, Pantelidis Stilianos, Rizal Fahmi Roshid, Azmi Muslim dan Bunyamin manakala Mohd Farizal Marlias dilihat kurang diuji dalam empat perlawanan sebelum ini.
PIALA FA (Pusingan Kedua) – 4 Februari (Selasa) Selangor lwn Sarawak (4.15 petang / Std MBPJ , Petaling Jaya)
LIGA SUPER – 8 Februari 2014 (Sabtu) SDFC lwn Selangor (8.45 mlm / Std MPS Selayang )
Dipetik : Sinar Harian