Categories
NASIONAL

SPF mohon maaf, Anwar ke Jepun 26 Februari ini

Oleh : MOHD EZLI MASHUT

PETALING JAYA, 10 FEB: Yayasan Keamanan Sasakawa (SPF) memohon maaf kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilarang daripada memasuki Jepun, pada Januari lalu.

Pengerusi SPF, Jiro Hanyu, berkata beliau akan melakukan sedaya yang termampu untuk memastikan Anwar dapat memasuki Jepun kali ini.

Anwar JepunAnwar dijangka mengambil bahagian dalam forum “Demokrasi dalam dunia Islam” pada hujung bulan ini.

“Saya sebagai tuan rumah bertanggungjawab supaya tetamu berasa selesa dan bertanggungjawab ke atas malu yang ditanggung Anwar,” katanya selepas pertemuan tertutup dengan Anwar di Damansara, di sini, hari ini.

Anwar menerima jemputan itu dan menyatakan yang beliau ‘memaafkan’ Jepun di atas insiden berkenaan.

Pegawai imigresen di Lapangan Terbang Narita enggan membenarkan Anwar masuk ke negara itu pada 19 Januari lalu kerana kesalahan beliau yang terdahulu.

Sementara itu, Anwar akan melawat kembali ke Jepun pada 26 Februari ini untuk menerima pelawaan jemputan daripada Sasakawa Peace Foundation (SPF)

Anwar memberitahu pemberita dalam satu sidang media di Hotel One World, di sini akan memenuhi jemputan itu selepas menerima permohonan maaf daripada pengerusi SPF, Jiro Hanyu.

“Selepas perbincangan panjang bersama pihak menganjur maka saya berhasrat untuk pergi ke Jepun kembali, pada 26 Februari ini,” katanya.

Anwar berkata beliau menganggap kejadian itu adalah perkara kecil berbanding pengalaman yang dialami sebelum ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.