Categories
AGENDA NASIONAL

Jepun ingin kongsi pengalaman, kepakaran urus bencana dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Kerajaan Jepun menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di bidang pengurusan risiko bencana dengan Malaysia dalam usaha mengurangkan kesan bencana ke atas manusia di peringkat global.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko berkata Negara Matahari Terbit itu berharap untuk membangunkan kerjasama selanjutnya dengan Malaysia dalam bidang pengurusan risiko bencana yang akan menjadi tonggak penting kerjasama antara kedua-dua negara.

“Seperti banjir besar yang melanda Malaysia baru-baru ini, saya harap kita dapat menjalin kerjasama lebih lanjut memandangkan kerajaan Jepun giat berkongsi pengalaman dan kepakaran sedemikian di peringkat global dalam usaha mengurangkan kesan bencana kepada rakyat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Misi Bantuan Pascabanjir Kedutaan Jepun dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.

Takahashi berkata penilaian lanjut diperlukan untuk mewujudkan strategi jangka panjang dalam kerjasama pengurusan risiko bencana antara kedua-dua negara.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan secara khusus apa yang kita (kerajaan Jepun) boleh tawarkan… Kita perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia bagi mengetahui apa yang boleh dilaksanakan di sini,” katanya.

Sementara itu, Takahashi berkata Malaysia dan Jepun telah melalui hubungan dua hala yang sangat baik melalui Dasar Pandang ke Timur yang akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini.

Beliau berkata dasar berkenaan menyediakan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan menerusi program latihan dan interaksi di peringkat akar umbi serta pertukaran budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dan Jepun.

“Saya yakin hubungan ini terus berkembang pada tahun mendatang dan saya tidak sabar-sabar untuk berbincang dengan rakan-rakan Malaysia cara meningkatkan hubungan ini untuk generasi masa depan,” katanya.

Takahashi hari ini menghadiri majlis Misi Bantuan Pascabanjir iaitu kerjasama antara Kedutaan Jepun dan MOTAC, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21 Malaysia dan Homestay Malaysia.

Misi yang dirasmikan oleh Takahashi dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Noor Zari Hamat telah mengumpul sejumlah RM150,000 dan akan diagihkan dalam bentuk wang tunai dan bantuan banjir di lapan lokasi di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada 8 dan 9 Jan ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri sumbang RM2,000 tampung kos kuarantin penerima biasiswa Jepun

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri memberi sumbangan RM2,000 kepada penerima biasiswa Jepun Monbukagakusho: MEXT 2022 untuk menampung kos kuarantin di negara itu.

Seramai 32 pelajar Malaysia menerima biasiswa Jepun untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana di negara itu, lapor portal New Straits Times.

Sementara itu, Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka berkata lebih 1,800 pelajar negara ini menerima manfaat sejak program itu dilaksanakan pada 1954 sehingga kini.

“Penerima biasiswa melalui proses pemilihan ketat melibatkan peperiksaan serta temu duga yang dijalankan kedutaaan Jepun,” katanya.

Selain menerima tajaan yuran pengajian, penerima biasiswa turut diberi elaun bulanan kira-kira 117,000 yen (RM4,000) untuk setiap penuntut ijazah sarjana muda dan 143,000 yen (RM5,200) untuk ijazah lanjutan.

Presiden Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM) Gary Tang berkata kumpulan pertama pelajar akan ke Jepun pada Isnin ini.

“Kumpulan pelajar ini akan menjalani kuarantin selama 14 hari apabila tiba di Jepun,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Sudirman: Aksi memberangsang Malaysia berakhir di tangan Jepun

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Aksi memberangsangkan skuad muda badminton negara pada kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland terhenti setakat peringkat separuh akhir selepas tumpas 1-3 kepada Jepun, malam tadi.

Ia kemenangan kedua Jepun ke atas Malaysia dalam edisi kejohanan berpasukan itu kali ini selepas menundukkan skuad negara 4-1 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D, sebelum ini.

Bagi Malaysia pula, kecemerlangan sewaktu menundukkan musuh tradisi Indonesia di suku akhir, semalam, gagal diulangi menyaksikan kemarau kemenangan selama 16 tahun berdepan Jepun gagal ditamatkan. Kali terakhir Malaysia mengatasi Jepun dalam Piala Sudirman ialah pada edisi 2005 Beijing China.

Langkah kiri Malaysia pada pertembungan itu bermula seawal aksi beregu lelaki apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan pasangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang lebih agresif dan tangkas sepanjang 42 minit permainan berlangsung.

Hoki-Kobayashi yang berada di ranking ke-16 dunia mencatat kemenangan 21-15, 21-14 sekali gus menghadiahkan mata pertama kepada Jepun sebelum giliran perseorangan wanitanya Akane Yamaguchi meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0.

Berada di ranking kelima dunia, Yamaguchi ternyata berada di kelas tersendiri apabila mudah mengatasi wakil negara di kedudukan ke-53 dunia S Kisona 21-7, 21-5 dalam masa 26 minit.

Meskipun keadaan semakin tegang dan tekanan mula dirasai kem Malaysia selepas dua kekalahan pertama itu, suasana di venue pertandingan tetap riuh dengan sorakan penonton yang hadir memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang juga kapten pasukan tampil menyekat momentum Jepun apabila menumbangkan pemain nombor satu dunia Kento Momota dengan bergaya untuk mengutip mata sulung Malaysia.

Pada aksi penuh mendebarkan itu, Zii Jia yang ketinggalan 7-11 pada satu ketika bangkit mempamerkan persembahan bertenaga untuk mendahului 15-14 dan mengikat kedudukan 20-20 sebelum memastikan dua mata terakhir menjadi miliknya untuk menoktahkan kemenangan 22-20 di set pertama.

Zii Jia semakin berkeyakinan di set kedua apabila mendahului 11-7, namun Momota mempamerkan taring mengikat kedudukan 12-12 sebelum perlawanan menjadi sengit dengan kedua-dua pemain saling berjaya mencuri mata sehingga kedudukan terikat 19-19.

Seakan tanpa sebarang tekanan, Zii Jia mudah mematahkan pukulan Momota untuk mengutip dua mata berturut-turut sekali gus menoktahkan keputusan 21-19 dan beliau meraikan kejayaan bermaknanya itu dengan membuka dan mencampakkan bajunya ke udara.

Bagaimanapun, harapan meraih mata penyamaan tidak berjaya ditunaikan pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang mempamerkan semangat juang tinggi menyaingi kehebatan gandingan Mayu Matsumoto-Misaki Matsumoto sebelum tumpas 19-21, 17-21 dalam tempoh 55 minit.

Walaupun ditunjukkan jalan keluar, skuad muda negara sebenarnya telah melepasi sasaran mara ke suku akhir yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas ini perjuangan Malaysia akan diteruskan pada kempen Piala Thomas dan Piala Uber 2021 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 17 Okt di Aarhus, Denmark.

Dalam saingan Piala Thomas, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada sementara Skuad Piala Uber bakal berhadapan China, pasukan tuan rumah, Denmark dan Kanada dalam Kumpulan D.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Sudirman: Malaysia tumpas di tangan Jepun peringkat kumpulan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Lapan belas tahun berlalu, badi kekalahan kepada Jepun masih menghantui Malaysia apabila pasukan negara terus tewas kepada pasukan dari negara matahari terbit itu 1-4 dalam Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D, manakala Jepun menerajui Kumpulan.

Pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kemenangan pertama Malaysia apabila pasangan itu menundukkan pilihan ke-16 dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 14-21, 21-16, dalam perlawanan sengit yang berlarutan sehingga 67 minit.

Dalam perlawanan berikutnya pemain perseorangan wanita negara S Kisona tumpas buat kali kedua dalam kejohanan, kali ini di tangan pemain pilihan kelima dunia Akane Yamaguchi menerusi straight set, 14-21, 14-21.

Perlawanan hebat yang dinantikan ramai peminat badminton menyusul kemudiannya apabila pemain nombor satu dunia Kento Momota berhadapan dengan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, yang pernah menumpaskan pemain dari Jepun itu dalam saingan peringkat suku akhir kejohanan All England 2021.

Selepas ketinggalan enam mata di set pertama, Momota terus beraksi dengan baik untuk menundukkan Zii Jia dengan 21-18, dan disusuli dengan kemenangan di set kedua dengan 21-10.

Dalam perlawanan berikutnya Chiharu Shida dan pasangannya Nami Matsuyama menewaskan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah, 21-16, 21-17, walaupun Shida dikatakan mengalami kecederaan di buku lali kiri.

Pasangan beregu campuran pilihan kelima dunia Yuta Watanabe-Arisa Higashino melengkapkan kemenangan Jepun apabila mereka menumpaskan pasangan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dengan 21-16, 21-9.

Bagaimanapun Malaysia sudah mengesahkan kedudukan dalam lapan pasukan yang mara ke peringkat berikutnya susulan kemenangan ke atas England, 3-2 Isnin lepas (27 Sept) dan Mesir, 5-0, pada hari berikutnya.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan D, England membelasah Mesir 5-0 untuk menamatkan kempen mereka di tempat ketiga Kumpulan.

Sementara itu susulan undian suku akhir sebentar tadi, menyaksikan Malaysia dijadualkan bertemu dengan Indonesia dalam saingan berikutnya, esok 1 Okt pukul 9 malam waktu Malaysia (4 petang waktu Finland), manakala Jepun akan bertemu dengan Taiwan.

Juara bertahan China akan menentang jaguh Eropah, Denmark, manakala Korea Selatan pula akan bertemu dengan Thailand dalam sesi pertama pukul 3 pagi waktu Malaysia (10 pagi waktu Finland).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Jepun tetap komited anjur Olimpik 2021

TOKYO, 4 DIS: Jepun tetap komited untuk menganjurkan temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2021, kata Perdana Menteri Yoshihide Suga ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Pandemik Covid-19 memaksa Jepun menjadualkan semula kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung pada Julai dan Ogos tahun ini, ditangguhkan sehingga 2021, lapor Agensi Sputnik.

“Pada September, di Perhimpunan Agung PBB, saya menyuarakan komitmen untuk mengadakan Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo sebagai tanda kemenangan kita semua terhadap virus itu.

“Dengan tekad ini, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mengadakan pertandingan yang selamat dan tenang,” kata Suga pada lewat Khamis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes di Jepun cecah 100,000, korban lebih 1,700

TOKYO, 30 OKT: Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Jepun meningkat 100,000 pada Khamis, disebabkan peningkatan kes baharu ekoran pembukaan semula aktiviti ekonomi, lapor agensi berita Kyodo.

Bilangan kes sehari yang dicatatkan di seluruh negara pada Khamis sebanyak 809 buat pertama kali melepasi angka 800 sejak 29 Ogos.

Jumlah keseluruhan itu merangkumi kira-kira 700 kes membabitkan kapal persiaran Diamond Princess, yang dikuarantin di Yokohama pada Februari. Terdapat lebih 1,700 kematian sehingga kini.

Jangkitan memuncak pada Ogos sekitar 1,600 kes dan sejak itu jangkitan mula perlahan, tetapi pakar memberi amaran akan trend kenaikan dijangka berlaku lagi.

Menurut data Johns Hopkins University, jumlah kumulatif kes di Jepun berada di kedudukan ke-49 di dunia.

Situasi di Jepun lebih buruk berbanding negara jiran seperti Korea Selatan dan Taiwan, yang bertindak pantas untuk menyekat perjalanan dan menghapuskan kluster jangkitan.

Jepun juga sedang dilanda musim selesema, yang diburukkan lagi dengan Covid-19 yang memberi tekanan pada sistem perubatan. Perdana Menteri Yoshihide Suga berjanji untuk terus menyokong hospital dan mendapatkan vaksin yang cukup untuk seluruh penduduk Jepun menjelang separuh pertama 2021.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Duta Jepun: Mudahkan prosedur bagi lonjakkan pelaburan baharu

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Malaysia boleh menjangkakan peningkatan ketara pelaburan dari Jepun sekiranya prosedur berkaitan pelabur baharu dipermudahkan dan diperkemaskan, kata Duta Jepun di Malaysia, Hiroshi Oka.

Beliau berkata kerajaan Jepun turut melakukan sebaik mungkin untuk menggalakkan pelaburan baharu ke Malaysia yang sejak akhir-akhir ini dipelbagaikan daripada sektor elektrik dan elektronik konvensional kepada antaranya beberapa industri yang lebih pelbagai.

“Masih ada ruang bagi penambahbaikan untuk pelaburan baharu berpotensi direalisasikan. Contohnya, memperkemaskan dan memudahkan prosedur berkaitan pelabur, seperti penubuhan pusat perkhidmatan sehenti yang bertujuan melancarkan pelaburan baharu.

“Daripada mendapatkan banyak kebenaran yang diperlukan bagi pelaburan baharu dengan mengunjungi dan berunding dengan banyak pejabat kerajaan, malah langkah itu kerap menjadi proses yang mengambil masa yang panjang, jadi, jika perkhidmatan sehenti diwujudkan, ia akan menguruskan semua kelulusan diperlukan selain membantu pelabur baharu,” katanya kepada Bernama.

Beliau mencadangkan supaya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), sebagai agensi penggalakan pelaburan utama, boleh berperanan sebagai pusat sehenti, termasuk untuk sektor bukan pembuatan, menguruskan segala prosedur dan birokrasi agar memudahkan pelabur baharu.

“Sudah tentu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Mida serta semua agensi yang relevan di bawah kementerian itu amat membantu dalam menggalakkan lagi perniagaan Jepun untuk datang dan beroperasi di sini,” katanya.

Oka berkata pegawai di kedutaan Jepun kerap berbincang dengan Miti dan Mida, termasuk mengenai pendekatan bagi mempertingkat iklim pelaburan dan sebarang bentuk persekitaran lebih mesra yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia dan langkah itu merupakan aspek yang selalu dihargai oleh Jepun.

“Oleh yang demikian, saya perlu tekankan bahawa kita mempunyai kerjasama cemerlang yang berterusan di antara Jepun dengan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata justeru, ini membawa kepada pelaburan dalam sektor baharu seperti industri peralatan perubatan, makanan halal dan pesawat.

Tahun lepas, Jepun muncul sebagai penyumbang pelaburan langsung asing terbesar, yang disifatkan beliau adalah ‘usaha sokongan kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi pelaburan asing syarikat Jepun”.

Selain itu, beliau berkata antara yang dipelajari daripada pandemik Covid-19 adalah pentingnya untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.

Oleh yang demikian, Jepun sedang membantu syarikatnya untuk mempelbagaikan asas bekalan agar dapat meminimumkan risiko gangguan, katanya.

Oka berkata berdasarkan pengalaman Jepun dari segi keberkesanan dan kecekapan dalam penggunaan teknologi digital, kerajaan Jepun, Organisasi Perdagangan Luar Jepun (Jetro) serta Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (Jactim) bersama-sama dengan kerajaan Malaysia serta agensi seperti Miti, Mida dan Sirim membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini menerima guna teknologi digital untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.

Pada 2019 sahaja, 10 seminar dianjurkan Jetro dan Sirim dengan kerjasama syarikat Jepun di seluruh negara menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman mereka dalam penggunaan teknologi digital.

“Kami kini memasuki fasa kedua proses perkongsian ini. Kami mahu merealisasikan penggunaan teknologi digital dalam kalangan PKS Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Syarikat Jepun teroka sektor kesihatan, teknologi digital di Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Selepas berdekad-dekad menumpukan operasi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), syarikat Jepun kini mempelbagaikan pelaburan mereka ke bidang baharu yang sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing pilihan utama mereka.

Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka berkata syarikat baharu mula berkembang ke bidang baharu di negara ini dengan meneroka ke dalam sektor kesihatan, pembuatan peralatan perubatan, teknologi digital dan industri makanan halal.

“Syarikat Jepun mula datang ke Malaysia pada tahun 1970-an, dan ketika trend meningkat dengan bermulanya Dasar Pandang Ke Timur pada era 1980-an, syarikat terkemuka Jepun seperti Toray, Hitachi, Sony dan Panasonic semua bergegas membuka operasi di Malaysia.

“Kini terdapat kira-kira 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia dan syarikat-syarikat ini telah menyumbang kepada pengindustrian Malaysia. Kira-kira 40 peratus daripada eksport Malaysia adalah daripada sektor E&E dan sektor ini secara tradisinya merupakan tumpuan utama pelaburan langsung daripada syarikat Jepun. Kami telah berkembang bersama-sama dengan pengindustrian Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Satu daripada dimensi paling menarik daripada pelaburan Jepun di Malaysia adalah ketika seluruh industri mengalami kemorosotan serius akibat daripada pengurangan besar-besaran pekerja disebabkan pandemik Covid-19, syarikat Jepun berjaya mengekalkan kakitangan mereka yang berjumlah 340,000 orang dalam sektor pembuatan sahaja, sepanjang tempoh beberapa bulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Oka berkata tahun lepas, Jepun merupakan penyumbang terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan jumlah aliran pelaburan langsung ke negara ini.

“Ini mencerminkan sokongan perniagaan Jepun terhadap daya tarikan Malaysia dan menariknya, bidang pelaburan syarikat Jepun telah semakin dipelbagaikan,” katanya.

Dalam sektor kesihatan, tahun lepas menyaksikan Mitsui, salah sebuah syarikat dagangan utama Jepun, membeli tambahan 16 peratus pegangan daripada rangkaian hospital global Malaysia, IHH Healthcare Berhad (IHH).

Manakala sebuah syarikat pembuatan peralatan perubatan Jepun, yang menghasilkan peralatan perubatan kardiovaskular canggih di negara itu, telah membuka kilang luar negara pertamanya di Malaysia untuk mengeksport balik produknya ke Jepun.

“Syarikat itu juga sedang menimbang untuk mengeksport peralatan perubatan berkualiti tingginya ke pasaran Asia lain pada masa depan. Jadi, pembuatan peralatan perubatan merupakan satu daripada bidang baharu bagi pelaburan Jepun di Malaysia,” katanya.

Mengenai teknologi digital, sebuah syarikat pemula niaga ditubuhkan di Malaysia tahun ini untuk menyediakan perkhidmatan berasaskan data mobiliti bagi menambah baik kesedaran keselamatan pemanduan dan menyumbang kepada penyuraian kuantiti trafik dan mengurangkan kemalangan.

Sebuah lagi syarikat terkemuka, Hitachi, juga menyediakan perkhidmatan penyelesaian berasaskan teknologi digital dan menjadikan Malaysia sebagai hab serantaunya bagi perkhidmatan ini untuk seluruh rantau ASEAN.

Mengenai industri halal, duta itu berkata, semakin banyak industri makanan Jepun tertarik dengan Malaysia kerana sijil halal yang dikeluarkan Malaysia dianggap sebagai sangat boleh dipercayai di peringkat global.

“Jadi, mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat sehentinya sebelum menembusi pasaran Islam dan Timur Tengah dengan produk makanan mereka yang memiliki sijil halal Malaysia,” kata Oka.

Satu lagi bidang baharu bagi pelaburan syarikat Jepun di Malaysia adalah industri pesawat.

“Di ASEAN, kami menimbang untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta Jepun dalam industri pesawat di Malaysia berikutan potensi tingginya. Ini merupakan contoh usaha kerajaan Jepun untuk mendorongkan lagi syarikat Jepun datang ke Malaysia bagi menjalin kolaborasi perniagaan dengan syarikat Malaysia menerusi pelaburan,” katanya.

Mengenai pandemik Covid-19, beliau berkata ia tidak menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan Jepun.

“Sebaliknya, berdasarkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan Jepun, kami sebagai kerajaan menyokong perniagaan Jepun untuk meningkatkan lagi komitmen mereka kepada Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dua atlet taekwondo berpeluang raih slot ke Olimpik 2020

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Dua atlet taekwondo negara, Ahmad Nor Iman Hakim Rakib dan Syafiq Zuber dilihat berpeluang menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun depan.

Pengarah Teknikal Taekwondo Malaysia (TM) R Dhanaraj berkata atlet Malaysia memiliki peluang beraksi pada temasya sukan berprestij itu kerana masih terdapat empat slot dari benua Asia untuk diisi.

“Peluang itu ada tapi kita tidak boleh cakap ia terlalu cerah. Kita ada dua atlet masing-masing kategori bantam (Ahmad Nor Iman) serta feather (Syafiq) dan slot mereka (untuk atlet Asia) masih ada,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil adalah pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing menerusi Elaine Teo dan Che Chew Chan, masing-masing beraksi dalam kategori wanita bawah 57 kilogram (kg) dan 67kg.

Sementara itu, Dhanaraj berkata tiada sebarang kejohanan antarabangsa dianjurkan pada tahun ini selepas pengumuman dibuat World Taekwondo pada April lepas ekoran pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jepun peringati 75 tahun Hiroshima dibom atom

TOKYO, 6 OGOS: Jepun memperingati ulang tahun ke-75 pengeboman atom Hiroshima pada Khamis, dengan datuk bandar mendesak dunia untuk bersatu menentang ancaman terhadap manusia termasuk yang berasal daripada senjata nuklear, lapor agensi berita Xinhua.

Datuk Bandar Hiroshima Kazumi Matsui berkata negara-negara harus “mengetepikan perbezaan mereka dan bersatu untuk mengatasi ancaman buatan manusia dan cabaran alam.”

“Masyarakat awam mesti menolak nasionalisme yang mementingkan diri dan bersatu menentang semua ancaman,” Matsui berkata pada upacara tahunan di Peace Memorial Park.

Upacara peringatan dikurangkan kerana penularan Covid-19 di Jepun dan keperluan untuk mengekalkan jarak sosial.

Suasana hening seketika apabila semua yang hadir termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe bertafakur pada 8.15 pagi waktu tempatan, iaitu waktu bom atom yang mengandungi uranium “Little Boy” dijatuhkan oleh pengebom AS meletup di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 .

Bom itu mengorbankan sekitar 140,000 orang sehingga akhir tahun 1945.

Walaupun Jepun tidak menandatangani Perjanjian Larangan Senjata Nuklear, Abe dalam ucapannya, berkata negara-negara tidak boleh membiarkan perbezaan pendirian mengenai senjata nuklear semakin meluas.

“Setiap negara harus meningkatkan usaha untuk menghilangkan rasa tidak percaya melalui penglibatan dan dialog bersama di tengah-tengah persekitaran keselamatan yang teruk dan memperluas perbezaan antara kedudukan negara-negara mengenai perlucutan senjata nuklear,” kata Abe.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, jumlah mangsa yang terselamat daripada dua pengeboman atom termasuk Nagasaki yang dikenali sebagai hibakusha dengan purata usia 83.31 tahun, menurun sebanyak 9,200 dari tahun sebelumnya kepada 136,682 orang.

Sementara Jepun memperingati tragedi yang dialaminya pada akhir Perang Dunia Kedua, sejarawan dan pemikir politik masyarakat antarabangsa telah mendorong Jepun untuk melihat diri mereka bukan hanya sebagai mangsa pengeboman atom tetapi juga sebagai pelaku yang menyebabkan tragedi itu berlaku sejak mula lagi.

Jepun menjajah banyak kawasan di Asia sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua dengan kejam, menyebabkan penderitaan dan kematian yang tidak terkira kepada ratusan ribu mangsa yang tidak bersalah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kira-kira 400 syarikat Jepun muflis

TOKYO, 3 OGOS: Jumlah syarikat muflis di Jepun disebabkan Covid-19 kini mencecah sebanyak 400, lapor agensi berita Sputnik memetik penyiar NHK pada Isnin.

Menurut data firma perunding Teikoku Databank, jumlah syarikat paling banyak muflis adalah di sektor restoran dan perhotelan – masing-masing sebanyak 54 dan 48. Sebanyak 95 syarikat muflis dilaporkan di Tokyo manakala 41 di Osaka.

Darurat yang berkuat kuasa di Jepun selama satu setengah bulan sehingga akhir Mei, memberi kesan negatif kepada pelbagai sektor perniagaan. Pada masa sama, NHK dalam laporannya mengatakan pembuat kereta Jepun kembali ke tahap pengeluaran sebelum krisis untuk pasaran domestik.

Jumlah kes Covid-19 di Jepun mencecah 40,000, dengan lebih 1,000 kematian.

Namun, kerajaan Jepun enggan mengisytiharkan sekatan pergerakan kali kedua, kerana berpendapat lonjakan kes jangkitan baharu itu berpunca daripada peningkatan saringan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kubu di Pantai Sabak, lokasi Jepun mendarat di Tanah Melayu lenyap

KOTA BHARU, 26 JULAI: Tanggal 8 Dis 1941 menjadi detik sejarah yang tidak akan dilupakan apabila laluan Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini ketika itu menjadi saksi lokasi pendaratan pertama Jepun menakluki Tanah Melayu.

Namun, menurut Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, Sarapa Ismail, 48, tinggalan berupa kubu itu tenggelam akibat hakisan pantai terutama di Pantai Kuala Pak Amat, Sabak dan sehingga kini masalah itu turut sama menenggelamkan Jambatan Bijih Jubakar Tumpat.

“Antara tempat tinggalan tersebut yang sudah tiada ialah kubu-kubu di Pantai Sabak, namun tinggalan sejarah yang masih ada pula sehingga kini ialah perigi di Kampung Sungai Nyor, terowong dan pelabuhan di Palekbang (Tumpat) dan Jambatan Guillemard (Kuala Krai/Tanah Merah),” katanya.

Memorial Perang Dunia Kedua (Kota Bharu) pula pernah menjadi pusat tahanan orang Melayu dan tentera ‘kempeitai’ iaitu polis dan tentera yang ditangkap, diseksa dan dipancung kepala.

“Bagi kubu yang terdapat di Cabang Tiga Pengkalan Chepa ini, ia dikatakan antara 25 kubu yang ada sepanjang Pantai Sabak hingga ke Pantai Bachok, yang kebanyakannya sudah hampir ditenggelami akibat hakisan pantai,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Tapak Peninggalan Kubu di Cabang Tiga Pengkalan Chepa di sini, baru-baru ini.

Ketika mengimbau sejarah itu beliau berkata serangan Jepun tersebut mampu melumpuhkan Tanah Melayu termasuk Singapura hanya dalam masa 70 hari sahaja.

Sarapa yang juga guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan ‘123sejSPM seMalaysia’ berkata menurut sumber, kubu tersebut dibina oleh British untuk menempatkan tentera India dan Punjabi.

“Namun selepas penjajahan Jepun, ia dijadikan kubu pertahanan, cuma setelah menyedari bentuk yang tidak sesuai (kecil), kubu tersebut akhirnya dijadikan tempat menyimpan senjata dan barang-barang rampasan penduduk,” katanya.

Sarapa berkata walaupun kubu itu dibina oleh tentera British, namun penduduk tempatan lebih gemar menggelarnya sebagai kubu Jepun.

Mengaitkan sejarah penaklukan itu, beliau berkata masyarakat negara ini diminta tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing yang bertentangan dengan nilai norma kerana bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata iktibar yang dapat dipelajari daripada penaklukan Jepun itu ialah menjadi kuasa industri yang maju dan berlumba-lumba bersama negara penjajah lain seperti Jerman dan Itali dengan mempunyai strategi serta perancangan kukuh.

“Kaedah Jepun membawa slogan ‘Asia Untuk Asia’ menjadikan masyarakat tempatan terpegun kerana pihaknya menonjolkan perjuangan untuk membela orang Melayu menggunakan dakyah tersebut, biarpun hakikat sebenar adalah untuk mendapat sokongan penduduk,” katanya.

Seorang pelajar universiti swasta di sini, Lim Siew Fong, 25, yang bersama rakannya di tapak tersebut berkata rakyat perlu mengambil iktibar sejarah itu agar negara tidak dijajah semula dan terus maju sehingga dihormati seluruh dunia.

“Saya sebagai generasi muda mahu kita belajar mengenai sejarah penjajah ini,” katanya yang berasal dari Selangor dan meminati bidang Sejarah.

Bagi rakannya, Azizah Hassan, 24, juga mahu menjadikan sejarah lama sebagai penguat azam untuk membangunkan negara tercinta dan meminta mana-mana pihak yang cuba untuk meruntuhkan apa yang dibina pemimpin terdahulu perlu bermuhasabah diri.

“Alhamdulillah saya berbangga bersama rakan-rakan berbangsa lain dapat hidup bertoleransi sesama kami dan saya pohon janganlah ada pihak yang cuba merosakkan semua ini,” katanya.

-BERNAMA