Categories
SELANGOR

SPR anggar kos PRK Kajang RM1.6 juta

SHAH ALAM, 5 FEB: Anggaran kos perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang adalah RM1.6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusoff.

Beliau berkata, 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK berkenaan, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

“Anggaran kos perbelanjaan bagi PRK ini RM1.6 juta,” katanya yang dipetik daripada BERNAMA. di sini, hari ini.

Tan Sri Abdul Aziz Yusof1Beliau berkata, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK berkenaan adalah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya itu yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan Suku Tahun Ketiga 2013 yang dikemaskini sehingga 26 Januari lalu.

Bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh menang kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 dengan majoriti 6,824 undi membabitkan pertembungan enam penjuru termasuk Barisan Nasional (BN), BERJASA dan tiga calon bebas.

PKR menamakan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam PRK yang bakal berlangsung , pada 23 Mac ini.

Abdul Aziz berkata, belanjawan bagi setiap PRK bergantung kepada pelbagai faktor ketika ditanya berkenaan anggaran kos perbelanjaan kali ini jika dibandingkan dengan PRK Kuala Besut, Terengganu yang kurang daripada RM1 juta.

“Antaranya bilangan pengundi, keluasan kawasan pengundian dan lokasinya sama ada di bandar atau luar bandar. Kalau di bandar, akan membabitkan jumlah kos sewa yang tinggi dan SPR memerlukan banyak peruntukan untuk menyewa bangunan.

“Keduanya, adalah jumlah petugas yang bukan kakitangan SPR tetapi dilantik untuk membantu dalam pengurusan pilihan raya, jumlah saluran undi, jumlah pusat pengundi dan pelbagai faktor lain,” katanya.

Beliau berkata, SPR berusaha menjadikan belanjawan untuk PRK Kajang membabitkan kos paling minimum, manakala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman dilantik sebagai Pengurus Pilihan Raya yang akan dibantu tiga penolong pegawai pengurus.

logo SPRMBeliau berkata, 673 petugas pilihan raya pula dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya dan Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi dipilih sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian membabitkan tiga pusat mengundi bagi undi awal dan 15 pusat mengundi bagi pengundian biasa.

“Tarikh keluar writ adalah hari ini, manakala tarikh notis pilihan raya pada 6 Februari ini, tarikh penamaan calon 11 Mac, tarikh pengundian awal 19 Mac dan tarikh pengundian biasa 23 Mac,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.