Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: 239 calon daripada 11 parti, bebas layak bertanding PRN Johor

JOHOR BAHRU, 26 FEB: Seramai 239 calon layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata selain itu, tiada pencalonan yang ditolak selepas proses penamaan calon.

“Daripada 239 calon layak bertanding, 202 adalah lelaki dan 37 lagi adalah wanita,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, selepas selesai proses penamaan calon hari ini.

Terdapat kira-kira 2.5 juta pemilih berdaftar pada PRN Johor yang melibatkan pertandingan di 56 kerusi.

Beliau berkata calon tertua pada pilihan raya itu berusia 71 tahun iaitu daripada Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai manakala calon termuda berumur 26 tahun di DUN Mengkibol yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan DUN Tangkak daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Abdul Ghani berkata terdapat lapan calon berusia bawah 30 tahun bertanding pada PRN kali ini.

Seramai 52 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 72 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 64 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun manakala 43 calon berusia 60 tahun ke atas.

Daripada keseluruhan 239 calon, 56 masing-masing adalah calon BN dan PN, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (7), Parti Warisan (6), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon oleh pegawai pengurus hingga 11.59 malam 11 Mac.

Sementara itu, SPR dalam kenyataan memaklumkan ia telah menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

SPR turut memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor telah diluluskan akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya iaitu proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Maklumat lanjut mengenai SOP berkenaan boleh diperoleh di portal spr.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian, SPR bincang guna sekolah menengah sebagai pusat undi

KLUANG, 22 FEB: Keputusan rasmi mengenai penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan akan dibuat selepas pertemuan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alimin berkata pertemuan antara menteri pendidikan dan pihak SPR itu dibuat di Putrajaya.

Beliau berkata sekiranya keputusan yang dibuat SPR untuk menggunakan premis berkenaan tetap dilakukan, pihak KPM akur kerana ia termaktub dalam tuntutan Akta Pilihan Raya 1958.

“Kita memahami ketika PRN Johor nanti ada sebahagian bangunan sekolah termasuk bilik darjah akan digunakan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun kita akan pastikan keadaan selamat.

“Kita di KPM juga akan meminta semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya berkenaan termasuk SPR untuk membantu memastikan tiada sebarang risiko terutama kepada calon SPM,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja beliau ke daerah ini hari ini.

Mohamad berkata KPM juga meminta pihak terlibat dalam proses pengundian semasa PRN Johor untuk membantu memastikan kelancaran peperiksaan SPM yang akan bermula dari 2 hingga 29 Mac depan.

“Kita di KPM juga berharap agar tatacara operasi piawai (SOP) dipertingkat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan calon SPM,” katanya.

KPM sebelum ini memohon kerjasama SPR agar sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan yang telah disusun atur terganggu.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ceramah, kempen secara fizikal dibenarkan dalam PRN Johor

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut tatacara operasi piawai (SOP) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi ceramah, syarahan dan kempen diadakan.

“Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan,” menurut SOP itu, menambah sebarang bentuk hiburan semasa berkempen tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

Mengenai SOP hari pengundian, pengundi wajib memakai pelitup muka berganda dan pengundi bergejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas perlu diasingkan serta-merta daripada pengundi lain dan mengundi di tempat khas sama ada khemah, bilik atau ruang khas.

“Selepas selesai mengundi, pengundi bergejala akan diuruskan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas untuk tindakan lanjut termasuk membuat ujian kendiri Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

“Khemah, bilik atau ruang khas hendaklah dilakukan disinfeksi berdasarkan garis panduan KKM sebaik sahaja selepas setiap pengundi bergejala selesai mengundi,” menurut SOP itu.

SOP itu juga menetapkan pengundi yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar dari tempat rawatan untuk mengundi bagi mengelakkan jangkitan dan menyebabkan penularan.

Bagi pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS), mereka perlu memohon pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Maklumat lanjut SOP bagi PRN Johor boleh diakses menerusi laman rasmi SPR di https://www.spr.gov.my.

SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Februari manakala pengundian awal 8 Mac.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semakan daftar pemilih tambahan dibuka hingga 17 Mac

JOHOR BAHRU, 16 FEB: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2022 (DPT BLN1/2022) yang telah diperakui dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari, hingga 17 Mac depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan iaitu seperti di Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan juga di Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“DPT BLN1/2022 ini mengandungi nama bagi 36,408 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga 31 Januari 2022 yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.

“Turut disenaraikan dalam DPT BLN1/2022 adalah 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 7,164 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Januari, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.

Menurutnya jika mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Katanya mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPTBLN1/2022.

“Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPTBLN1/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor 12 Mac, penamaan calon 26 Februari

SHAH ALAM 9 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hari penamaan calon pula pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac, kata Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media hari ini.

“SPR telah mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan satu pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi,” katanya.

Menurut data SPR, seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu.

Jumlah pengundi di Johor meningkat 28 peratus berbanding 1.8 juta pada pilihan raya umum 2018 dengan tambahan melibatkan pengundi 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Pada 22 Januari, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon pembubaran DUN negeri tersebut sebelum mendapat perkenan baginda.

Beliau berkata pilihan raya perlu diadakan berikutan kerajaan negeri dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.

Johor bakal menjadi negeri keempat yang mengadakan pilihan raya selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Pakatan Harapan sebelum ini mendesak SPR membenarkan aktiviti ceramah dan kempen secara bersemuka dalam PRN Johor susulan negara semakin bersifat endemik.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: 2.57 juta pengundi biasa layak mengundi

JOHOR BAHRU, 30 JAN: Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah keseluruhan itu, 22,536 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,958 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,578 pula anggota polis dan pasangan mereka.

Menurut data yang diwartakan SPR pada 17 Jan lepas, jumlah pengundi tidak hadir luar negara adalah seramai 376 orang di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengundi boleh membuat semakan awal melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my., aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR menerusi talian 03-88927018.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN desak kempen lebih panjang 21 hari, bersemuka ikut SOP

SHAH ALAM, 24 JAN: Pakatan Harapan (HARAPAN) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan aktiviti ceramah dan kempen secara bersemuka dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

Menurut Majlis Presiden, negara semakin bersifat endemik dengan jumlah kes Covid-19 dan kemasukan ke hospital agak stabil selain penerima dos kedua mencecah 80 peratus.

“HARAPAN berpendirian bahawa SPR perlu memperbetul tatacara operasi piawai (SOP) bagi membolehkan aktiviti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Cadangan lain termasuk:

1. Pemberian bahan cetak rumah ke rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP
2. Memberi akses media (ruangan masa dan cetak) kepada semua parti secara adil
3. SPR bergerak aktif di kedutaan Malaysia di luar negara untuk pelaksanaan undi pos
4. Tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari

Kelmarin, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor sebelum mendapat perkenan baginda.

Beliau berkata pilihan raya negeri perlu diadakan berikutan kerajaan negeri dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.

Johor bakal menjadi negeri yang mengadakan pilihan raya negeri selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar tambahan 5.7 juta pengundi termasuk Undi 18 boleh disemak mulai hari ini

PUTRAJAYA, 14 JAN: Pelaksanaan urusan semakan Daftar Pemilih Tambahan bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) dibuka selama enam bulan bermula hari ini hingga 13 Julai setelah ia diperaku dan diwartakan hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata DPT BLN12/2021 mengandungi nama bagi 5,718,760 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas hingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Ia turut mengandungi 25,220 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 pemilih bertukar status atau kategori pengundi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas hingga 31 Disember 2021 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2021.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2021, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi borang C secara dalam talian melalui pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Ikmalrudin berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi DPT BLN12/2021 iaitu portal SPR menerusi pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hotline SPR di talian 03-88927018.

Beliau berkata mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Katanya, borang C dan borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri melalui pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN12/2021.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN12/2021, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR menerusi talian 03-88927018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: SPR nasihat pengundi keluar ikut cadangan masa

KUCHING, 16 DIS: Pengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Sabtu ini dinasihat supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata suruhanjaya itu melalui aplikasi MySPR Semak telah meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi.

Beliau berkata sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh mengundi mengikut kelapangan masa dari 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

“Namun demikian, pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan dan mereka juga disaran membuat semakan awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan proses semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Pengundi juga dinasihatkan menyimpan kad pengenalan dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi Sabtu ini manakala seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 orang telah mengundi secara pos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Pusat pengundian awal ditutup

KUCHING, 14 DIS: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) berakhir pukul 5 petang ini.

Pengundian awal PRN12 kali ini melibatkan 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan, yang dilaksanakan di 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran disediakan di pusat mengundi.

Proses mengundi awal diadakan sejak 7.30 pagi.

Tinjauan Bernama di lokasi pengundian awal di beberapa lokasi mendapati proses berjalan lancar mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh turut hadir meninjau proses pengundian awal di beberapa lokasi seperti di Dewan Bukavu Kem Penrissen dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Badruddin di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Kempen fizikal hanya di DUN tiada capaian internet tinggi

KUCHING, 5 DIS: Penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai capaian internet yang tinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman sesawang rasmi memaklumkan antara kawasan itu adalah Opar, Bukit Sari, Gedong, Dalat, Simunjan, Ba’Kelalan, Marudi, Saribas, Asajaya serta Tanjong Datu dan sebarang penganjuran ceramah dan syarahan selain daripada 64 kawasan itu adalah tidak dibenarkan.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) bagi penganjuran ceramah dan syarahan ialah kehadiran peserta hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang dalam satu-satu masa dan peserta yang menghadiri ceramah dihadkan kepada penduduk kampung atau rumah panjang itu sahaja.

“Selain itu, parti-parti atau calon-calon yang bertanding bertanggungjawab untuk memastikan penduduk luar dari kampung atau rumah panjang tersebut tidak menghadiri ceramah atau syarahan yang dianjurkan.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ceramah atau syarahan diadakan dengan tarikh, masa dan tempat hendaklah dinyatakan dalam permit untuk memudahkan pihak polis membuat pemantauan,” menurut laman sesawang itu hari ini.

Menurut SPR, tempoh dua jam diberikan bagi setiap sesi ceramah fizikal dan tidak melebihi 10 malam, dengan penganjuran perlu dilakukan di lokasi tertutup seperti dewan, balai raya atau ruai serta tiada sebarang bentuk hiburan semasa berkempen.

SOP lain termasuk memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sepanjang masa, membenarkan hanya individu lengkap vaksin hadir dan menyediakan kaunter saringan kesihatan.

Sementara itu, SPR menggalakkan calon untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Oleh itu, penggunaan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram, rangkaian televisyen dan akhbar tempatan untuk berkempen adalah digalakkan.

Dalam pada itu, SPR tidak membenarkan temu bual secara spontan (terjah) atau di luar masa dan SPR juga akan menetapkan sesi sidang media atau temu ramah di pusat-pusat mengundi bagi memastikan pematuhan penjarakan fizikal.

“Hanya wartawan yang telah lengkap menerima vaksin dibenarkan hadir ke sesi sidang media atau temu ramah dengan pematuhan SOP termasuk penjarakan fizikal. Wartawan yang bergejala atau positif Covid-19 atau kontak rapat tidak dibenarkan hadir ke sesi sidang media atau temu ramah,” menurut SPR.

SPR menetapkan esok hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sarawak mengundi 18 Disember, penamaan calon 6 Disember

KUCHING, 24 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini turut mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Pengumuman itu dibuat beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb 2022. Darurat ini ditarik balik pada 3 Nov, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 Nov, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Sementara itu, Abdul Ghani menerusi satu kenyataan yang diedarkan semasa majlis pengumuman itu memaklumkan 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ini dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN itu.

Sebanyak 1,866 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.

Abdul Ghani berkata bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen selama 12 hari sehingga 11.59 malam 17 Dis, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

“Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 346 buah pusat mengundi biasa pada hari mengundi akan dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.00 petang dan baki 1,520 pusat mengundi dibuka mengikut waktu yang diwartakan.

Bagi pusat mengundi awal pula, beliau berkata 11 buah pusat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari, 20 buah pusat mengundi dari 8 pagi hingga 2 petang dan baki 54 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Selain itu, sebanyak 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 82 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan pada PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam PRN kali ini.

“Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Semakan boleh dibuat mulai 1 Dis 2021,” katanya.

Permohonan untuk mengundi secara pos pula boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.

Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

– BERNAMA