Categories
NASIONAL

Waytha letak jawatan, tamparan buat Najib

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 FEB: Perletakan jawatan P Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkuatkuasa hari ini adalah satu tamparan hebat buat Datuk Seri Najib Razak terutama ketika kepimpinan Perdana Menteri itu dipertikaikan banyak pihak.

Penulis blog, Shahbudin Husin, berkata berundurnya Waytha yang juga pemimpin Hindraf itu daripada kabinet memberi makna bahawa sokongan yang pernah diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sudah ditarik balik.

Beliau berkata, putusnya ‘ikatan kasih’ antara kerajaan dan Hindraf bakal menyaksikan sebahagian daripada jumlah 10 peratus pengundi India ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lagi akan berpihak kepada BN.

812shahbudin_new-buku_penulis“Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil mendakwa Najib dan Putrajaya sebagai pemungkir janji. Pedihnya dan lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah di pipi.

“Jika Teresa Kok sedang risau jika cabaran menamparnya disambut mana-mana pihak yang pendek akal, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib,” katanya yang juga penulis buku politik di blognya.

Beliau berkata, dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada pelbagai pihak termasuk Umno sendiri, kedudukan BN dilihat bukan sahaja sukar di Kajang, bahkan kuasanya untuk kekal sebagai pemerintah dalam pilihan raya akan datang juga pasti mencabar.

Terdahulu, Waytha dalam satu kenyataan memaklumkan akan meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet termasuk Ahli Dewan Negara, pada 10 Februari ini.

Beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana mendakwa BN tidak memenuhi apa sahaja janji yang dibuat kepada kaum India walaupun memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.