Categories
NASIONAL

Mengaku sahajalah Umno takut kebenaran

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 NOV : Helah melambatkan debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sengaja ditimbulkan bagi menghalang ia daripada menjadi kenyataan.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata kerajaan mula menggelupur dan berusaha menghalang debat itu dengan menjadikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai sasaran.

Beliau berkata, Umno jelas takut dengan kebenaran walapun mereka cuba menyembunyikan rasa itu dengan pelbagai alasan.

Shahbudin Husin“Sebenarnya inilah dinamakan penakut dan pengecut tetapi malu mahu mengaku. Bahkan, dalam masa sama putar alamnya tetap gred satu.

“Sudahlah Pua dipaksa berundur daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika mahu berdebat, Arul (Kanda Kandasamy) turut diputuskan tidak boleh menjadi saksi dalam PAC jika tampil dalam debat itu.

“Drama demi drama dipentaskan sekarang tidak lain adalah supaya debat itu tidak menjadi kenyataan akhirnya, itu saja tujuannya,” kata bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju itu.

Pada masa sama, Shahbudin turut mengkritik kenyataan pemimpin Umno, Tan Sri Annuar Musa melabelkan Pua sebagai tidak mempunyai ‘T’ (merujuk kepada telur) jika tidak berani meletak jawatan sebagai anngota PAC.

Katanya, cadangan Annuar supaya Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Pua untuk berdebat dengan Presiden 1MDB itu juga tidak masuk akal.

Najib-1MDB“Kalau mahu Wan Azizah sebagai ganti, lawannya bukanlah Arul, tetapi seharusnya Najib sendiri.

“Barulah padan, Ketua Pembangkang lawan Perdana Menteri dan dapatlah juga kita mengetahui sama ada Najib ada “T” atau tidak,” katanya.

Drama demi drama mula ditimbulkan pemimpin pro kerajaan berkenaan debat 1MDB membabitkan Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP dengan Pengarah Eksekutif syarikat kontroversi itu.

Terbaru, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan beliau sedia melepaskan jawatan Speaker Dewan Rakyat jika kerajaan mahu meneruskan rancangan perdebatan itu.

-nR-

Categories
NASIONAL

Tajuddin tak wajar guna perkataan kasar

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 OKT: Tidak wajar bagi seorang pemimpin kerajaan menggunakan perkataan kasar ketika berucap walaupun dalam nada bergurau terutama jika bertujuan memberi amaran atau menggertak sesebuah kaum di negara ini.

Bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Shahbudin Husin, berkata tidak salah untuk menyelitkan unsur politik dalam ucapan, namun jangan melampaui batasan.

812shahbudin_new-buku_penulis“Apakah tidak boleh peringatan itu disampaikan dalam bentuk ucapan biasa sahaja tanpa menyebut perkataan ‘lempang’ dan sebagainya?

“Bak kata orang Perak, ‘dah kuat bebenor ke berbanding orang Cina?’,” katanya di dalam blog.

Kenyataan itu merujuk kepada tindakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memberi amaran akan melempang rakyat Cina di negara ini jika mengadu masalah kepada pihak luar.

Beliau juga meminta rakyat Cina berhenti berangan bahawa ada pihak luar yang akan membela nasib mereka.

datuk seri tajuddin rahmanSehubungan itu, Shahbudin berkata, imej Barisan Nasional (BN) akan bertambah buruk ekoran tindakan Tajuddin yang gagal menunjukkan contoh baik sebagai pemimpin.

Katanya, kewibawaan Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga tercalar kerana tidak mampu mengawal situasi yang mengganggu emosi.

“Kalau dalam ucapan boleh begitu, bagaimana pula bila berdepan dengan pihak yang tidak sebulu dengannya di mesyuarat atau perundingan?

“Apakah mungkin akan berlaku fail melayang atau kerusi berterbangan?,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

GST: Pemerintah baik cari ulama, ulama tak baik ghairah dekati pemerintah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 MEI: Kenyataan Mufti Pahang, Abdul Rahman Othman yang meminta rakyat supaya menyokong pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tanpa memberi penerangan lanjut boleh menimbulkan kekeliruan ekoran penghujahan tidak kukuh.

Abdul Rahman hanya bersandarkan pandangan ulama, Mohamad Abdullah tetapi mengelak untuk mengulas lanjut dan meminta pihak yang tidak mempercayainya untuk berhujah dengan ulama berkenaan.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata kenyataan beliau yang ‘tergantung’ boleh mengelirukan sesetengah pihak yang kurang ilmu pengetahuan yang akan beranggapan bahawa usaha mengkritik kesilapan kerajaan pusat sebagai ‘dosa besar’.

812shahbudin_new-buku_penulis“Tentu mereka yang fanatik akan beranggapan bahawa kerajaan sedia ada perlu dikekalkan sehingga kiamat kerana percaya menukar kerajaan atau memburukkan pimpinan sedia ada adalah dosa besar.

“Kenyataan Abdul Rahman tidak ubah seperti kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria sebelum ini yang menyifatkan peserta demonstrasi sempena tahun baru sebagai golongan “bughah” dan darahnya halal dibunuh.

“Tidak dapat dipastikan apakah tujuan dua mufti ini mengeluarkan kenyataan separuh masak seumpama itu, tetapi yang jelasnya ia menambahkan lagi kekeliruan masyarakat dan umat Islam,” tulisnya di blog.

Pada 2 Mei lalu, Abdul Rahman berkata, umat Islam sepatutnya tidak menyalahkan pelaksanaan GST tetapi perlu membantu kerajaan dalam menyokong usaha itu.

Katanya, Islam tidak melarang sistem percukaian dilaksanakan tetapi perlu mengikut syarak dan tidak menzalimi rakyat.

Abdul Rahman turut menasihatkan rakyat supaya sentiasa taat kepada kerajaan melainkan aktiviti maksiat dan menyatakan Islam menggalakkan segala masalah yang berbangkit diselesaikan melalui perbincangan bukannya memburukkan kerajaan.

mufti-pahangKenyataan Mufti Pahang itu dipercayai dikeluarkan berikutan pelbagai bantahan rakyat terhadap kerajaan dan yang terbaru demonstrasi membantah GST yang diadakan di Dataran Merdeka dengan dihadiri kira-kira 50,000 rakyat pelbagai kaum.

Pada masa sama, Shahbudin turut menyarankan ulama dan mufti lebih memfokuskan pelbagai masalah dan penyelesaian di kalangan masyarakat daripada ‘ghairah’ ikut campur dalam konflik politik.

“Dengan adanya ulama dan mufti seperti ini, benar kata orang beragama dan berilmu dahulu bahawa ‘pemerintah yang baik ialah yang selalu mendekati ulama tetapi ulama yang tidak baik selalu mendekati pemerintah’,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Waytha letak jawatan, tamparan buat Najib

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 FEB: Perletakan jawatan P Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkuatkuasa hari ini adalah satu tamparan hebat buat Datuk Seri Najib Razak terutama ketika kepimpinan Perdana Menteri itu dipertikaikan banyak pihak.

Penulis blog, Shahbudin Husin, berkata berundurnya Waytha yang juga pemimpin Hindraf itu daripada kabinet memberi makna bahawa sokongan yang pernah diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sudah ditarik balik.

Beliau berkata, putusnya ‘ikatan kasih’ antara kerajaan dan Hindraf bakal menyaksikan sebahagian daripada jumlah 10 peratus pengundi India ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lagi akan berpihak kepada BN.

812shahbudin_new-buku_penulis“Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil mendakwa Najib dan Putrajaya sebagai pemungkir janji. Pedihnya dan lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah di pipi.

“Jika Teresa Kok sedang risau jika cabaran menamparnya disambut mana-mana pihak yang pendek akal, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib,” katanya yang juga penulis buku politik di blognya.

Beliau berkata, dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada pelbagai pihak termasuk Umno sendiri, kedudukan BN dilihat bukan sahaja sukar di Kajang, bahkan kuasanya untuk kekal sebagai pemerintah dalam pilihan raya akan datang juga pasti mencabar.

Terdahulu, Waytha dalam satu kenyataan memaklumkan akan meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet termasuk Ahli Dewan Negara, pada 10 Februari ini.

Beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana mendakwa BN tidak memenuhi apa sahaja janji yang dibuat kepada kaum India walaupun memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PRK Kajang : Calon tawar diri ghairah serang peribadi Anwar

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 FEB: Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kian terasa walaupun Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan calon yang akan menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Mac ini.

Penulis blog, Shahbudin Husin, berkata sementara BN belum menetapkan calon sama ada Umno atau MCA untuk menggalas cabaran, muncul pula pihak yang disifatkan tidak ‘malu-malu’ menawarkan diri mereka mewakili BN dan Bebas.

Antara individu terbabit adalah Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP), Datuk K S Nallakaruppan dan bekas pembantu peguam bela Anwar, Yuktes Vijay.

812shahbudin_new-buku_penulisBeliau berkata, secara dasarnya hasrat dua individu berkenaan bukan kerana mahu menang atau ghairah bergelar wakil rakyat, tetapi lebih kepada ingin menyerang atau mendedahkan keburukan peribadi Anwar.

“Nalla adalah bekas rakan karib Anwar dan hasratnya bertanding tidak lain untuk mendedahkan segala rahsia Anwar yang didakwa diketahuinya ketika mereka bersahabat.

“Beliau yang meminta hasratnya untuk mewakili BN dalam PRK dipertimbangkan, tetapi nampaknya tidak berminat langsung untuk menang, sebaliknya hanya mahukan ruang kempen selama beberapa hari itu sebagai medan untuk mendedahkan keburukan Anwar.

“Sama seperti Nalla, Yuktes yang mahu bertanding sebagai calon Bebas juga bukan menyertai pilihan raya ini kerana mahu menang atau ghairah bergelar wakil rakyat, tetapi semata-mata mahu menyerang, mendedahkan keburukan dan mungkin membalas dendam terhadap Anwar,” katanya.

Shahbudin berkata, tidak mustahil jika BN memberi ‘lampu hijau’ kepada Nallakaruppan untuk bertanding, tayangan video berkenaan Anwar akan menjadi sebahagaian daripada acara kempennya.

Anwar-Najib-Geng Nalla3Beliau juga secara sinis menyifatkan kehadiran individu yang tidak ‘malu-malu’ menawarkan diri sebagai calon ini seperti menjadikan PRK Kajang seperti Hari Raya.

“Ia umpama kemeriahan Hari Raya yang sudah dapat dirasakan walaupun bulan puasa belum tiba,” katanya.

PRK Kajang dijangka bakal menjadi PRK paling unik dan menarik dalam sejarah berikutan taruhan PKR menempatkan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebagai calon di DUN itu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

BN jangan letak calon kalau rasa PRK Kajang membazir

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 JAN : Barisan Nasional (BN) tidak perlu meletak calon untuk menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika hal itu mampu mengelak pembaziran.

rodziah-ceramah-biru-01Dipetik dari laman sosial Twitter, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata masih belum terlambat untuk BN bertindak dan memberi kemenangan percuma kepada calon PKR.

“Umno kalau rasa dengan berlakunya PRK Kajang ini satu pembaziran, jangan bertanding. Beri laluan kepada calon PKR. Amacam?,” katanya.

Sementara itu, penulis buku politik, Shahbudin Husin dalam tulisan di blognya menyindir Umno yang pernah melakukan tindakan sama pada 1997 ketika mahu menggantikan Tan Sri Muhammad Mohd Taib sebagai Menteri Besar Selangor.

Katanya, Tan Sri Abu Hassan Omar yang menjawat posisi menteri kabinet meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor, manakala Jamaluddin Adnan pula berundur sebagai ADUN Permatang bagi memberi laluan kepada Abu Hassan.

812shahbudin_new-buku_penulisBeliau berkata, tindakan itu memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan dua pilihan raya kecil setelah Abu Hassan dan Jamaluddin bertukar kedudukan.

“Jika PRK DUN Kajang yang diadakan untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dianggap membazir, maka dua pilihan raya kecil serentak ketika mahu melantik Abu Hassan dulu tentu jauh lebih membazir lagi,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan PRK Kajang yang akan datang adalah pembaziran wang awam oleh Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, keputusan mengadakan pilihan raya itu hanya sekadar untuk menyelesaikan perebutan kuasa dalam PKR.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pembabitan Mahathir jatuhkan Najib bukan perkara pelik

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 JAN: Pembabitan Tun Mahathir Mohamed dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menghairankan kerana sejarah membuktikan perkara sama pernah berlaku ketika era bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata tindakan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya adalah perkara biasa bagi Mahathir, bahkan membuat penafian juga sudah sebati dalam gerak kerja politiknya selama ini.

Beliau berkata, perkara sama turut menimpa beberapa bekas pemimpin terkemuka Umno sebelum ini antaranya Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas disingkirkan Mahathir.

812shahbudin_new-buku_penulis“Ketika hubungan tidak mesranya dengan Musa dihidu ramai pada awal 1980-an dulu, Mahathir beberapa kali menafikannya, bahkan beliau juga kerap menunjukkan sifat mesranya di depan umum dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Begitu juga dengan Anwar apabila beliau sering menafikan hubungan renggang mereka dan berulang kali menegaskan Anwar adalah penggantinya,bahkan sehari sebelum pemecatan Anwar ,pada 2 September 1998, beliau sekali lagi menafikan hubungan mereka bermasalah.

“Namun ,akhirnya Anwar bukan saja dipecat, bahkan juga dimalu, diaibkan dan dihantar ke penjara seperti tidak pernah bersahabat baik serta duduk makan semeja sebelum itu. Tetapi itulah Mahathir, apa yang dinafikan selalu yang dilakukannya,” katanya di dalam blog.

Shahbudin berkata, gerakan untuk menggulingkan Najib yang dikaitkan dengan Mahathir bukan lagi rahsia Umno berikutan beberapa blogger pro-bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu semakin giat meningkatkan serangan dan kritikan terhadap Najib.

Beliau berkata, desakan supaya Najib segera berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri adalah bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Dr.-Mahathir-MohamedKatanya, selain Datuk A Kadir Jasin; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga secara terbuka mengkritik kelemahan Najib, sambil mengingatkan bahawa BN akan tumbang jika pilihan raya akan datang diadakan dalam suasana seperti yang ada kini.

“Kritikan terbuka Daim segera dikaitkan dengan Mahathir berikutan mereka mempunyai hubungan rapat yang kekal sehingga ke hari ini dan dikatakan selalu bertemu untuk berbincang berkenaan isu politik semasa.

“Walaupun menafikan berada di belakang gerakan mahu menjatuhkan Najib, beliau pada masa sama mulai kritis terhadap Najib dengan mengkritik sikap bermewah kerajaan dan menyokong kenyataan Daim dengan menyatakan pandangan bekas Menteri Kewangan itu ada asas dan kebenarannya.

“Mahathir juga seperti menyindir Perdana Menteri bahawa pemimpin sekarang lebih mengutamakan mencari kekayaan berbanding memberi khidmat kepada rakyat. Siapa pemimpin sekarang yang ghairah mencari kekayaan kalau bukan Najib dan keluarganya?” katanya.

-NFN-