Categories
SELANGOR

Anwar: Tunggu penjelasan Selangor, usah buat tafsiran isu air

Oleh Afeeqa Afeera

KAJANG 3 MAC: Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua pihak supaya menunggu penjelasan Kerajaan Selangor berhubung isu penstrukturan semula industri air.

Malah, beliau ada meminta Rafizi Ramli tidak membuat sebarang tafsiran walaupun tidak menghalang Ahli Parlimen Pandan itu dari membangkitkan hal berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, berkata persoalan mengenai isu penstrukturan itu boleh ditimbulkan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Isu ini berat yang menyentuh kepentingan negeri dan rakyat. Jadi untuk menimbulkan persoalan itu memang dibolehkan tetapi jangan melihat ia sebagai satu pertentangan antara dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK Kajang, petang semalam.

Kelmarin, Rafizi mempertikai kandungan memorandum persefahaman (MoU) antara Putrajaya dan Kerajaan Selangor tetapi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan ia andaian Pengarah Strategi PKR itu semata-mata.

Mengesahkan Rafizi ada memaklumkannya sebelum membangkitkan isu itu, Anwar juga mengakui ada menasihati Rafizi supaya menunggu penjelasan lanjut Kerajaan Selangor.

Beliau pada dasarnya tiada masalah untuk Kerajaan Selangor memeterai perjanjian berkenaan asalkan kuasa negeri dan kepentingan rakyat terus terbela.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.