Categories
SELANGOR

Anwar : ‘Sokongan rakyat buat saya kuat untuk lawan’

Oleh : AFEEQA AFEERA

KAJANG, 9 MAC: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk terus memperjuangkan keadilan demi rakyat walaupun Mahkamah Rayuan mensabitkan beliau bersalah atas kes membabitkan bekas pembantunya, pada 7 Mac lalu.

Anwar dalam ucapannya malam tadi berkata, walaupun beliau berasa sedih atas keputusan itu, namum sokongan tidak berbelah bagi yang ditunjukkan rakyat seluruh negara memberi kekuatan kepadanya untuk terus bertahan dan menentang kezaliman Barisan Nasional (BN).

“Walaupun saya sedih sikit sebab dihukum penjara lima tahun, tetapi bila saya tengok rakyat begini, saya rasa cukup kuat dan gagah untuk lawan.

Anwar“Umno-BN ingat ini negeri mereka punya? Mereka boleh guna hakim, guna media, guna semua untuk menentang saya sehingga masuk penjara, tetapi rakyat bukan bodoh.

“Ribuan orang tetap mahu ubah!” katanya sambil disambut dengan laungan kira-kira 5,000 hadirin pada Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat (PR) di tempat letak kereta Pasar Sungai Chua, di sini, semalam.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, BN terpaksa menggunakan taktik kotor dengan membabitkan institusi kehakiman untuk menghalang kemaraan beliau di Kajang.

Katanya, ia disebabkan BN sudah mendapat ‘bayangan awal’ bahawa mereka akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang kerana majoriti sokongan rakyat kini memihak kepada PR.

“Saya baru masuk Kajang, mereka sudah takut. Sebelum lawan di Kajang, mereka buat tinjauan letak orang kuat MCA lawan saya, tanya orang cina sama ada mahu cina MCA atau Anwar di Kajang?

“Bila buat tinjauan, mereka dapati majoriti Melayu, India dan Cina kini sokong PR sebab itu BN fikir keadaan ini mendatangkan masalah buat mereka.

“Mereka nak tipu pun susah sebab orang Kajang tak baca Utusan Melayu, tak tengok berita TV3, kerana itu mereka kena fikir cara lain dengan masukkan saya ke dalam penjara,” katanya.

anwar mahkamah (2m)Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar atas kes membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Balia Yusuf Wahi yang mengetuai panel tiga hakim itu bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan itu sehingga rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan itu.

Anwar kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan dibenarkan meninggalkan mahkamah.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.