Categories
NASIONAL

Duta Mesir angkuh, enggan terima kunjungan PAS

KUALA LUMPUR, 26 MAC: PAS menyifatkan Kedutaan Mesir sebagai angkuh apabila enggan menerima kunjungan secara baik beberapa Ahli Parlimen mereka ke bangunan kedutaan itu, di sini, hari ini.

Kunjungan itu disertai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Nasrudin Hassan (Temerloh) dan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas), pada jam 11.30 pagi.

Kunjungan itu bagi menyatakan rasa kecewa PAS terhadap keputusan mahkamah Minya yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya, Dr Mohamad Badie.

Memetik Harakah Daily, kedatangan Ahli Parlimen berkenaan tidak dilayan, bahkan pihak kedutaan hanya menghantar pengawal keselamatan untuk menerima memorandum yang diserahkan di pagar.

angkuh“Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bentuk sikap rejim di Mesir. Ini indikator yang kita dapat lihat,” kata Idris pada sidang media di Parlimen.

Mengulas hukuman mati yang disifatkan bermotif politik itu, beliau berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku di zaman moden ini terutama membabitkan jumlah besar.

Sementara itu, Nasrudin pula menjelaskan, hukuman yang dikenakan kepada pepimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin sebagai episod malang dalam sejarah Mesir.

“Ini lebih kejam dari rejim Hosni Mubarak. Kalau kita bersedih dengan MH370 kerana membabitkan 239 hilang, tetapi hukuman terhadap 529 ini jumlah yang lebih besar.

“Ini perlu dilihat sebagai isu bersama, isu kemanusiaan dan keadilan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat prihatin untuk menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir, pada 28 Mac ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.