Oleh : NAEEM RAFFI
SHAH ALAM, 20 MAC: Status terkini kapasiti empangan di Selangor yang kritikal ketika ini dijangka akan semakin pulih selepas kitaran Monsun Timur Laut beralih ke Monsun Peralihan penghujung bulan ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurut agensi itu, monsun peralihan akan membawa taburan hujan yang lebih menyeluruh terutama pada waktu petang dan awal malam di kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia.
“Berdasarkan arah tiupan angin pada ketika ini, kita masih berada dipenghujung monsun timur laut.
“Paras air di empangan akan meningkat setiap kali musim monsun peralihan berlaku berikutan jumlah hujan yang turun adalah lebih banyak berbanding musim-musim lain,” katanya kepada Selangor Kini.
Bagaimanapun, kapasiti empangan tetap bergantung kepada jumlah hujan di kawasan tadahan.
MetMalaysia juga menjelaskan kualiti udara juga akan jauh lebih baik pada ketika itu dan kehadirannya membantu memulihkan Indek Pencemaran Udara (IPU) yang sebelum ini teruk akibat jerebu.
“Cuaca adalah lebih lembab pada musim ini dan keadaan ini dijangka tidak akan menghasilkan jerebu,” katanya.
-NFN-