Categories
SELANGOR

Exco: Kerajaan Negeri peruntuk RM26.8 juta untuk Skim Ceria

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 MAC: Sejumlah RM26.8 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri sehingga kini bagi pelaksanaan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria) di seluruh Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu sebanyak 103 kawasan dibaik pulih pada penggal pertama, manakala 54 kawasan lagi diluluskan pada penggal kedua.

Katanya, kebanyakan pangsapuri kos rendah dibina kurnag berkualiti sehingga memaksa Kerajaan Negeri untuk tampil membantu dan mengeluarkan peruntukan bagi usaha baik pulih.

IMG_7363a“Kerajaan Negeri keluarkan peruntukan 80 peratus bagi pangsapuri kos rendah dan penduduk hanya perlu bayar balik 20 peratus sahaja secara ansuran.

“Satu rumah cuma perlu bayar RM5 dan kita sedang mempertimbangkan 50 kawasan lagi untuk mendapat bantuan Skim Ceria ini,” katanya dalam segmen Selangorku, di sini, baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Negeri turut melancarkan program Seroja iaitu sebuah skim rondaan keselamatan dan kejiranan di kawasan pangsapuri, selain Skim Ceria.

Iskandar berkata, program Seroja mensasarkan 50 tempat untuk menjayakannya dengan diberi peruntukan RM5,000 bagi membeli peralatan dan baju pantulan cahaya.

Pangsapuri Ceria 01“Rukun tetangga adalah di bawah kerajaan pusat, tetapi program Seroja adalah milik kita. Kalau ada musibah kepada petugas ketika membuat rondaan, kita akan beri saguhati,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan 254 kawasan pangsapuri sudah menikmati pemberian air percuma hasil migrasi daripada meter pukal kepada meter individu.

“Dalam lima tahun, kita berjaya beri air percuma kepada kira-kira 60,000 unit rumah, yang mana hampir suku juta penduduk dapat nikmat air percuma melalui migrasi meter paip air,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.