Categories
SELANGOR

Exco: Orang ramai jangan terpengaruh hebahan fitnah terhadap Kerajaan Selangor

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 19 MAC: Satu hebahan palsu diedarkan kepada masyarakat di Kajang dikesan dipercayai cuba mengeruhkan hubungan baik antara Kerajaan Selangor dan rakyat negeri ini.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata hebahan yang menggunakan logo Selangorku, PKR, PAS dan DAP itu juga dipercayai diedarkan dengan tujuan meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang nanti.

“Hebahan ini sangat jelas direka oleh seseorang yang tidak cerdik akalnya dan jauh dari mempunyai sikap cermat dan teliti mengenai hebahan dari sebuah kerajaan negeri.

“Sudah pasti ia bukan hebahan yang dikeluarkan oleh mana-mana Pejabat Exco Kerajaan Negeri kerana terdapat banyak kecacatan format, bahasa dan informasi,” menurut kenyataan media Rodziah yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Rodziah juga menemplak pihak tidak bertanggungjawab itu sebagai amat dangkal dan mempamerkan kecerdasan yang lemah berikutan syarat skim Kerajaan Negeri di dalam hebahan itu dilihat sebagai ‘tangkap muat’ sahaja.

Beliau turut digesa membantu kerajaan negeri mengesan pihak tidak bertanggungjawab itu dengan menyalurkan maklumat ke talian 03-5544 7622 atau balai polis berhampiran bagi membolehkan di bawa ke muka pengadilan.

Antara kandungan hebahan palsu itu termasuklah ‘janji kerajaan negeri’ mengurangkan cukai pintu sebanyak 20 peratus, memberi elaun kepada ibu tunggal, menyediakan skim Takaful bernilai RM2,500 kepada warga emas, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.