Categories
SELANGOR

Langkah Kajang strategi terbaik, pengundi muda sumbang kemenangan PR

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 24 MAC : Kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi kerusi N25 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menyaksikan ‘Langkah Kajang’ adalah strategi terbaik menuju Putrajaya.

Kemenangan itu bukan sahaja ‘manis’ apabila disumbangkan pengundi muda, bahkan berjaya menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan Melayu.

Antara kawasan majoriti Melayu yang ditembusi Pakatan Rakyat (PR) termasuk dua kubu kuat BN membabitkan peti undi Sungai Sekamat dan Taman Delima.

Peti undi kawasan lain yang turut dikuasai pengundi Melayu juga menunjukkan sama ada berjaya dimenangi PKR atau sekurang-kurangnya berjaya mengecilkan majoriti BN iaitu di Sungai Kantan dan Batu 10, Cheras.

DSC_6934Bagi pengundi saluran lima, enam dan tujuh iaitu saluran bagi golongan muda turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

“Sudah tentu Langkah Kajang berkesan kerana kita lihat pengundi muda memberikan keyakinan yang menjadikan ‘Langkah Kajang’ berjaya. Saya bersyukur kerana kemenangan ini begitu manis sekali,” katanya pada sidang media di pusat pengiraan undi, malam tadi.

Azizah berjaya meningkatkan jumlah undi kepada 59.7 peratus berbanding 56.8 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Azizah berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dengan keputusan rasmi PKR memperoleh 16,741 undi, manakala BN 11,362 undi.

PRK DUN Kajang menyaksikan PKR terus mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini dengan majoriti 5,379 undi, manakala peratusan keluar mengundi 72 peratus atau 28,314 manakala undi rosak 176.

ilhamSelepas tamat tempoh kempen lewat malam semalam, kajian lapangan ILHAM Centre mendapati sokongan pengundi kepada PKR dan Azizah berada dalam keadaan selesa untuk menang.

Kajian itu terbukti benar apabila BN kalah hampir semua saluran pengundi anak muda.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar, berkata BN kelihatan sukar menembusi kubu kuat PR dalam PRK kali ini.

“Kelazatan kemenangan ini juga mempertahankan sokongan kaum lain dan mendapat majoriti Melayu di kawasan ini. Majoriti Melayu memilih bersama PR,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, pada PRU-13 lalu, calon BN menang 420 undi di Sungai Kantan, namun kali ini hanya menang dengan majoriti 225 sahaja.

Di Sungai Sekamat dan Taman Delima pula, PKR berjaya memenangi kawasan yang selama ini menjadi kubu Umno apabila PKR menang 45 undi berbanding kalah 239 undi pada PRU-13 lalu.

Di Taman Delima pula, PKR menang tiga undi berbanding kalah 123 undi, manakala di Batu 10, Cheras majoriti BN berjaya dikurangkan kepada 151 undi sahaja.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.