Categories
SELANGOR

Lebih 1000 sertai Kayuhan Malam Earth Hour MBSA

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 31 MAC : Hujan renyai malam minggu lalu tidak menghalang kira-kira 1,000 orang menyertai Kayuhan Malam (Night Cycle) sempena Program 60 Earth Hour anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, program kayuhan ini merupakan antara usaha berterusan pihak MBSA untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat agar prihatin dengan isu alam sekitar khususnya pemanasan global.

IMG_4538 (Custom)Katanya, selain daripada aktiviti berbasikal, program pada malam ini juga turut menyaksikan lampu-lampu bukan lampu utama di bangunan milik swasta dan agensi kerajaan doi sekitar pusat bandar dipadamkan selama sejam mulai 8.30 malam.

“Bagi menghormati tragedi yang menimpa para penumpang dan anak kapal pesawat MH370, pihak MBSA tidak mengadakan aktiviti yang berunsur hiburan.

“Sebaliknya acara berpuisi mengisi aturcara program khusus untuk didedikasikan kepada keluarga, penumpang dan juga anak kapal pesawat yang turut dibacakan Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dengan puisi bertajuk ‘Puisi Rindu Untuk Anakanda’,” katanya dalam satu kenyataan.

IMG_4494 (Custom)Pada 29 Mac lalu, MBSA menganjurkan program khas sempena Earth Hour yang diadakan di Dataran Shah Alam dengan pelbagai aktiviti sampingan lain.

“Penganjuran program ini diharap dapat mendidik masyarakat supaya tidak melakukan pencemaran dan menjadi lebih bertanggungjawab untuk memelihara alam sekitar di muka bumi ini.

“Diharap semua sedar pentingnya bumi dipelihara dan disayangi untuk kelangsungan umat manusia di masa akan datang,” katanya lagi.

Selain berbasikal dan bacaan sajak, MBSA juga menyediakan papan tanda khas untuk para pengunjung menyatakan kesedihan dan menulis kata-kata semangat serta doa untuk keluarga,anak kapal dan juga penumpang pesawat MH370 yang diumumkan berakhir di Lautan Hindi minggu lalu.

Para pengunjung juga turut diserikan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak bertemakan ‘Berbakti Kepada Bumi’, cabutan bertuah dan demonstrasi sukan skateboard dan basikal BMX serta lukisan grafiti.

Selain itu, Unit Local Agenda MBSA pula menyediakan ruangan khas bertema alam sekitar untuk memudahkan para pengunjung menzahirkan kata-kata sokongan dan juga slogan bagi menyelamat bumi dan alam sekitar.

Terdapat juga tiga gerai khas untuk penjualan aksesori dan peralatan menunggang basikal khusus untuk para pencinta sukan berbasikal.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.