Categories
SELANGOR

MB jumpa menteri untuk bincang penguatkuasaan WSIA

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi membincangkan penguatkuasaan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) untuk menyelesaikan penstrukturan air negeri itu.

Perkara ini dimaklumkan sendiri Abdul Khalid dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersama calon PRK Dun Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

air-syabas_MB1“Saya akan berjumpa dengan menteri dan akan membincangkan mengenai proses pengambilalihan. Sebenarnya saya telah menulis surat kepada menteri untuk berbincang tentang langkah pelaksanaan.

“Dengan cara itu, ketiga-tiga projek akan dilakukan serentak iaitu penyusunan semula pengambil alihan operasi air dari konsesi,” katanya.

Abdul Khalid berkata beberapa kelulusan daripada Kerajaan Negeri untuk projek Langat 2 mesti dilakukan serentak dan juga perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai pemberian peruntukan RM2 Bilion kepada Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Kerajaan Persekutuan mengkhianati Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dibuat dengan Kerajaan Selangor kerana enggan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) untuk menyelesaikan pertikaian isu pengurusan air negeri.

Pemimpin Pakatan, Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan bersama berkata, WSIA perlu digunakan untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.