Categories
SELANGOR

MB : Putrajaya ambil alih aset, Selangor tetap urus air

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 MAC : Pengambilalihan operasi empat firma utiliti air di Selangor oleh Putrajaya dalam tempoh dua minggu adalah selaras dengan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia), kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan penstrukturan air di negeri itu dipercepatkan dengan Kerajaan Pusat mengambil alih aset air dan menyerahkan kuasa pengurusan serta operasinya kepada Kerajaan Selangor.

Katanya, rakyat tidak perlu khuatir kerana kepentingan Selangor tetap terpelihara apabila operasi air diserahkan sepenuhnya untuk kendalian Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid“Walaupun Kerajaan Pusat kata tiga tahun (pengambilalihan) tetapi mereka boleh serahkan kepada Kerajaan Negeri untuk mengendalikannya.

“Di bawah Seksyen 114, kuasa untuk mengambil alih adalah di tangan Kerajaan Pusat, tetapi selepas ambil alih dia boleh berikan kuasa itu kepada Kerajaan Negeri untuk menguruskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Matta Fair Selangor kali kesembilan di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu kenyataan kepada akhbar The Star, berkata Putrajaya akan mengambil alih operasi empat firma air di Selangor dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, pengambilalihan selama tiga tahun itu adalah secara sementara sehingga Loji Rawatan Air Langat 2 mula beroperasi.

MB air MOUKerajaan Persekutuan kini mempunyai kuasa untuk menggunakan Seksyen 114 Akta Wasia yang membolehkan Putrajaya untuk campur tangan dan mengambil alih operasi aset air kerana tiada penyelesaian dicapai antara syarikat konsesi berkenaan bersama Kerajaan Negeri.

Syarikat konsesi air di Selangor adalah Puncak Niaga Holdings Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Putrajaya dan Kerajaan Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyelesaikan isu air di negeri itu, pada Februari lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.