Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 21 MAC : Pameran Persatuan Agensi-agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) cawangan Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam selama tiga hari sehingga 23 Mac ini dijangka meraih jualan RM10 juta dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata program MATTA Fair yang dulunya dikenali sebagai Selangor Islamic Travel Fair adalah bertujuan untuk mengetengahkan destinasi pelancongan Islam ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, program kali ini turut mendapat kerjasama erat daripada kerajaan Iran yang memberi tumpuan khusus kepada bandaraya Isfahan yang terkenal dengan seni bina dan kraftangan.
“Pelawat ke MATTA Fair bukan sahaja dapat melihat gambar kecantikan negara Iran, tetapi dapat lihat sendiri barangan yang dikeluarkan oleh mereka.
“Ini satu penambahan dan ia akan diteruskan supaya menarik minat rakyat Malaysia terutama di Lembah Klang untuk memilih destinasi pelancongan idaman mereka,” katanya pada Majlis Perasmian MATTA Fair Selangor kali kesembilan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Elizabeth Wong; Pengerusi Matta Selangor, Datuk Helmi Daud; Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Dani serta beberapa wakil dari negara luar.
Program kali ini menyaksikan ;100 gerai dibuka dengan pembabitan 49 pameran terdiri daripada pelbagai pengusaha pelancongan dan usahawan dalam dan luar negara antaranya Iran, Kuwait, Egypt, Pahang, Selangor dan Sarawak.
Pengunjung yang hadir turut berpeluang mendapatkan pakej Umrah 2014 daripada pengusaha yang bertauliah dan berpengalaman serta berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.
-NFN-