Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengoperasian bas komuniti secara percuma untuk warga Shah Alam

Oleh : SHAHRIN AHMAD

Dalam usaha untuk memperkasakan lagi sistem pengangkutan awam di kawasan Shah Alam, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menyediakan perkhidmatan bas komuniti secara percuma untuk kegunaan orang ramai.

Bas komuniti ini merupakan inisaitif pihak MBSA untuk menyediakan kemudahan awam untuk kegunaan masyarakat khususnya yang berpendapatan sederhana rendah seperti warga industri, pelajar, kakitangan kerajaan dan mereka yang memerlukan perkhidmatan bas ini untuk berurusan.

Dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat, penyediaan bas komuniti ini merupakan usaha berterusan pihak MBSA untuk membantu meringankan beban masyarakat yang ingin ke tempat kerja, pejabat, sekolah, pusat pengajian tinggi, pasar, klinik serta tempat tumpuan orang ramai. Perkhidmatan bas komuniti ini akan bermula di Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 dan akan melalui beberapa seksyen seperti 2, 7, 11, 16, 17 dan 18.

Bas komuniti ini akan melalui pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor (UNISEL), Klinik Kesihatan, Seksyen 7, tempat tumpuan pelancongan seperti Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, Dataran Shah Alam, Masjid Negeri serta pejabat pos dan pasar.

Perkhidmatan bas komuniti ini akan beroperasi 3 kali sehari dari Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 dari jam 7.30 pagi, 11.30 pagi dan 4.30 petang.

Dengan adanya perkhidmatan bas komuniti secara percuma ini diharapkan dapat meringankan beban dan membantu masyarakat yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, berurusan di pejabat/agensi kerajaan, pasar, pusat rawatan dan sebagainya.

Perkhidmatan bas komuniti ini juga merupakan komitment berterusan pihak MBSA yang sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi keselesaan, kesenangan dan kesejahteraan masyarakat awam khususnya yang tinggal di kawasan pentadbiran MBSA

Pertanyaan berhubung perkhidmatan bas komuniti ini sila hubungi Bahagian Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti, Majlis Bandaraya Shah Alam di talian 03-55105133 samb. 381, 432.

Justeru, pihak MBSA memohon kerjasama dan jasabaik pihak Tuan/Puan untuk menyiarkan kenyataan ini untuk makluman masyarakat. Kerjasama Tuan/Puan untuk menyiarkan kenyataan ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

# Shahrin Ahmad adalah Timbalan Pengarah Korporat dan Pembangunan Komuniti,Majlis Bandaraya Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published.