Categories
SELANGOR

Penstrukturan Semula Air Selangor, Kerajaan Pusat guna WSIA

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 MAC: Kerajaan Pusat akhirnya bersetuju menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dalam menjayakan program penyusunan semula industri air Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan pusat juga akan menggunakan kuasanya mengikut WSIA dan akta, undang-undang atau peraturan yang terpakai untuk membantu Selangor melaksanakan cadangan pengambilalihan industri perkhidmatan air.

“Kerajaan pusat dan kerajaan negeri juga bersedia mengambil langkah perlu selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini.

Abdul Khalid“Ini bagi memastikan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih mampan dan berdaya maju,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), malam tadi.

Semalam, Abdul Khalid menghadiri perbincangan lanjut bersama Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berhubung penstrukturan semula industri air Selangor.

Dalam pertemuan itu, Maximus mengulangi komitmen beliau untuk membantu memudahkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air daripada empat syarikat konsesi seperti yang dipersetujui MoU.

MB MOUPada 26 Februari lalu, syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) and Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).

Tempoh tawaran yang berakhir pada jam 5 petang semalam bagaimanapun hanya menyaksikan ABBAS sebagai konsesi tunggal yang menerima tawaran itu sementara tiga syarikat konsesi lain iaitu SYABAS, Puncak Niaga dan SPLASH dianggap menolak tawaran berkenaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.