Categories
SELANGOR

PRK Kajang: Petugas BN dicekup gantung kain rentang provokasi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG 22 MAC: Sekumpulan lelaki dipercayai petugas jentera Barisan Nasional (BN) dicekup ketika sedang menggantung beberapa banner provokasi terhadap parti lawan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Kumpulan terbabit yang memakai topi berlogo BN dengan menggunakan lori berlogo BN serta gambar calon BN ditemui pada jam 4.08 pagi tadi di kawasan jalan besar Kampung Baru Sungai Chua.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, Elizabeth Wong berkata, banner bersifat provokasi itu juga didapati tidak tertera lambang BN seperti mana lazim dilakukan dalam serangan provokasi lain.

“Memang ini yang kita jangkakan dari BN. Mungkin ada lagi dinaikkan menjelang malam nanti.

“Pihak PKR, kami tidak akan mengeluarkan banner propaganda hitam seumpama ini,” kata Elizabeth dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzli berkata tindakan ini jelas menunjukkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang mendakwa BN akan menjalankan kempen secara budiman sebagai hipokrit semata-mata.

“Tan Sri Muhyiddin kata BN akan berkempen secara ‘gentleman’ tapi buat lain. Hentilkan hipokrasi,” kata Fahmi.

Antara banner provokasi itu tertulis, “Kami sudah beri peluang enam tahun. Tak perlu minta simpati” cuba menggambarkan banner itu dikeluarkan pengundi Kajang.

Provokasi seumpama ini dianggap sebagai bahan kempen yang tidak mematuhi syarat pilihan raya yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Isu ini sudah pun dilaporkan kepada balai polis berdekatan kira-kira jam 5.00 pagi tadi untuk tindakan lanjut.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.