Categories
SELANGOR

Sekalipun tandatangani MoU, MB jamin tarif air tidak naik

Oleh Afeera Afeeqa

SHAH ALAM 5 MAC: Kerajaan Selangormemberi jaminan tidak menaikkan tarif air sebaliknya rakyat negeri ini terus menikmati pemberian air percuma 20 meter padu, sepanjang tiga tahun akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata rakyat tidak perlu khuatir meskipun ada dakwaan memorandum persefahaman (MoU) penstrukturan air yang dimeterai bersama Kerajaan Pusat kononnya menyebabkan pengguna menanggung kos lebih tinggi.

“Tidak. Tarif air tidak akan naik dalam tempoh tiga tahun,” katanya ringkas ketika mengulas hal itu pada sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

air-syabas_MBaBeliau berkata, Perjanjian Awal yang akan ditandatangani juga turut menyatakan tiada kenaikan tarif air berlaku.

Katanya, Kerajaan Selangor juga akan memastikan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) tidak menaikkan harga air selepas menyerahkan aset air.

“Bila dalam perjanjian baru, PAAB juga terlibat. Ia sudah dipersetuji dan ini semua bukan berlaku di Selangor sahaja tetapi turut berlaku di Johor dan Melaka,” katanya.

Minggu lalu, MoU penstrukturan air dimeterai antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat, membolehkan pengambilalihan ekuiti empat syarikat konsesi air yang menerima pampasan RM9.65 bilion.

Ia penting bagi mengelakkan tarif air meningkat hingga sehingga 70 peratus seperti yang didesak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebelum ini.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.