Categories
SELANGOR

Selangor perbaiki birokrasi, bantu pemilik pangsapuri dapat sijil hak milik

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 3 MAC: Pelbagai karenah birokrasi yang terpaksa dilalui pemilik hartanah berstrata bagi mendapatkan sijil hak milik strata masing-masing akan diatasi apabila kerajaan Selangor akan memastikan urusan bagi tujuan itu dipermudahkan dan berjalan lancar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kesungguhan yang ditunjukkan kerajaan negeri adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan pejabat agensi kerajaan negeri bagi membantu rakyat Selangor.

“Selangor akan perbaiki birokrasi untuk pengeluaran strata supaya pemilik pangsapuri boleh dapat dengan cepat. Kalau ikut birokrasi yang sedia ada dalam pengeluaran strata, sampai tiga generasi tidak boleh keluar lagi,” katanya.

mb 1Beliau berkata demikian pada perasmian Perhimpunan Perdana Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC) dan Anugerah Komuniti Bestari ‘K-Star’ Pangsapuri Negeri Selangor di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), di sini, semalam.

Sementara itu dalam perhimpunan yang menarik penyertaan kira-kira 200 anggota pengurusan JMB/MC seluruh Selangor itu, Abdul Khalid turut mengucapkan tahniah kepada pihak jawatankuasa yang menggerakan JMB/MC di tempat masing-masing tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

“Kerajaan negeri sesungguhnya mengiktiraf pengalaman ahli jawatankuasa yang hadir pada hari ini kerana sanggup berkorban masa dan tenaga tanpa dibayar elaun atau upah, selain kerap berhadapan dengan penghuni pelbagai ragam,” katanya.

kg delek pendudukBeliau berkata, menggalas tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa adalah satu tanggungjawab berat memandangkan terpaksa menangani pelbagai masalah daripada penduduk yang mempunyai pelbagai latar belakang seperti tahap pendidikan, fahaman politik dan sebagainya.

Abdul Khalid turut mengambil kesempatan mengingatkan penduduk supaya memelihara kebersihan persekitaran tempat tinggal masing-masing bagi mengelakkan pembiakkan nyamuk aedes, sekali gus berlaku penularan penyakit wabak demam denggi.

“Perlu diingat juga, persekitaran yang kotor atau tercemar menyebabkan pembiakan nyamuk dan membantu menular penyakit denggi yang sangat membimbangkan sekarang, khususnya di Selangor,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.