Categories
SELANGOR

Stadium Kajang bakal jadi lokasi utama pasukan liga Malaysia

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 12 MAC: Stadium Kajang akan dimanfaatkan dengan dijadikan stadium utama untuk latihan dan perlawanan sebuah pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia.

Perkara itu terkandung dalam ‘Manifesto Kajang: Anak muda dan usahawan kecil’ yang dilancarkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini, hari ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, langkah itu bertujuan memanfaatkan penggunaan Stadium Kajang yang tidak digunakan secara optima ketika ini.

rafizi“Ketika ini Stadium Kajang tidak berapa dimanfaatkan, yang mana ini agak merugikan,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, di Sungai Sekamat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata pada masa ini pasukan dari Lembah Klang dikenal pasti sebagai pasukan yang bakal menjadikan Stadium Kajang sebagai ‘lubuk’ mereka.

“Kita sedang mengenal pasti pasukan mana yang sesuai dan akan berbincang sebelum putuskan keputusan,” katanya.

Fahmi berkata, beberapa proses termasuk kelulusan badan induk bola sepak negara, FAM perlu diperoleh terlebih dahulu.

fahmi-fadzil“Kami tidak tergesa-gesa. Saya jangka akan mengambil masa. Kalau berjalan lancar, dijangka menjelang musim baru Liga M pasukan ini sudah boleh beraksi di Stadium Kajang,” katanya.

Sementara itu, selain membawa pasukan bola sepak Liga M bermain di Stadium Kajang, turut terkandung dalam manifesto teras anak muda dan usahawan kecil itu, mewujudkan Pusat Khidmat Kerja bagi menganjurkan program khusus untuk latihan pekerjaan dan nasihat kerjaya bagi golongan muda.

Teras itu termasuk memperkukuhkan peranan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bagi menyelaraskan aktiviti dan program golongan muda serta belia untuk menggalakkan interaksi masyarakat setempat turut menjadi agenda dalam manifesto terbabit.

Selain itu, manifesto berkenaan turut menekankan usaha meningkatkan peluang orang muda untuk menceburi perniagaan melalui program latihan keusahawanan percuma dan penyediaan kiosk peniaga kecil.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.