Oleh : NAEEM RAFFI
SHAH ALAM, 22 MAC: Kedegilan konsesi air menerima tawaran Kerajaan Negeri bagi mengambil alih pengurusan air di Selangor hanya mendatangkan kerugian, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim.
Katanya, pengambilan alihan secara paksa oleh Kerajaan Persekutuan menyebabkan konsesi hanya akan dibayar berdasarkan nilai aset yang jumlahnya jauh lebih rendah.
“Berdasarkan kiraan, nilai semua aset itu hanya RM7.6 bilion. Sebaliknya, apa yang ditawarkan Kerajaan Negeri adalah RM9.65 bilion yang mana selebihnya adalah sebagai premium.
“Jadi, apabila Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menggunakan kuasa dibawah seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA), maka premium tidak akan diambil kira. Jadi jumlah bayarannya berdasarkan nilai aset dan akan berlaku kerugian kepada mereka,” katanya kepada Selangor Kini, di sini.
Semalam, media melaporkan Putrajaya akan mengambil-alih konsesi yang berdegil secara paksa bagi membolehkan penstrukturan industri air Selangor diteruskan seperti yang dikehendaki Kerajaan Negeri.
Tiga dari empat konsesi terbabit menolak tawaran terakhir RM9.65 bilion daripada Kerajaan Negeri, pada 10 Mac lalu yang mebantutkan usaha penstrukturan serta pembinaan Loji Rawatan Langat 2 (LRAL2) yang diusahakan Kerajaan Persekutuan.
“Ia suatu berita baik dan tindakan seumpama itu amat dialu-alukan dan wajar oleh Kerajaan Persekutuan. Ia juga mencerminkan semangat kebersamaan seperti yang termaktub dalam MoU yang dimeterai bersama,” katanya.
-NFN-