Categories
NASIONAL

Wan Azizah : Pengundi tidak boleh ambil mudah PRK Kajang

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 19 MAC: Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diingatkan tidak mengambil mudah terhadap PRK kali ini sehingga tidak mahu keluar mengundi pada hari pengundian, 23 Mac nanti.

Calon Pakatan Rakyat (PR) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, berkata sikap demikian bakal menyebabkan peratusan keluar mengundi berkurangan, sekali gus menjejaskan majoriti yang mampu dimenangi PKR berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Memang kita berharap peratusan keluar mengundi tinggi. Pengundi jangan mengambil sikap sambil lewa kerana ini adalah tanggungjawab,” katanya kepada media ketika menjalankan kempen yang memasuki hari kesembilan di Kampung Sungai Kantan, di sini, semalam.

IMG_6589aSebelum ini, lawan PR, Barisan Nasional (BN) jelas menyedari bahawa mereka tidak mempunyai peluang untuk menang dalam PRK Kajang apabila hanya mensasarkan untuk mengecilkan majoriti yang dimenangi PKR dalam PRU-13 lalu.

Pada PRU-13 lalu, 88.36 peratus daripada 38,965 menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi.

Dalam pertandingan enam penjuru itu, Lee Chin Cheh dari PKR berjaya memperoleh 19,571 undian mengatasi pencabar terdekat daripada BN, Lee Ban Seng dengan majoriti 6,824 undi diikuti Mohamad Ismail (BERJASA) yang memperoleh 1,014 undian.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.