Categories
SELANGOR

811 peserta Mimbar berjaya tingkat pendapatan hingga RM5,000

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 APRIL : Seramai 5,767 menerima pembiayaan Program Pinjaman Mikrokredit Bandar (MiMBAR) sementara 3,480 daripadanya dalam proses membuat pembayaran semula pinjaman.

Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, daripada jumlah ini sebanyak 23 peratus peminjam berjaya meningkatkan pendapatan mereka sekaligus mencapai sasaran dasar daripada kebajikan kepada berpendapatan.

dns“Daripada peratusan ini, seramai 811 orang telahpun meningkatkan pendapatan mereka.

“Kalau dahulu pendapatan sekitar RM700 tapi sekarang yang mencecah RM3,000 hingga RM5,000 pendapatan bersih,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sebagai contoh katanya, pengusaha kek dan roti, Arbaiyah Ahmad yang dahulu meminjam RM1,500 kini telah mendapat pendapatan bersih sebanyak RM5,000 sebulan.

Bukan itu sahaja, beliau juga telah memiliki satu premis perniagaan sendiri dan dalam proses untuk menambah mesin dan peralatan.

Kata Rodziah, pembiayaan MiMBAR tidak pernah dibekukan dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) program ini ditambah baik untuk memberikan lagi manfaat kepada peminjam.

Program dengan peruntukan ‘one-off’ berjumlah RM20 juta ini memasuki fasa ke-49 yang bermula pada Januari 2014 dengan pertambahan baru seramai 145 orang sejak PRU-13 lalu.

Dalam usaha membuat kutipan semula, Adun Batu Tiga ini menjelaskan, pegawai MiMBAR dengan kerjasama ketua kampung dan nazir masjid turun padang untuk menyiasat dan bertemu sendiri dengan peminjam.

Ia bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi hingga mengakibatkan mereka gagal membuat bayaran semula.

Selain itu, khidmat kaunseling turut disediakan selain memberikan surat peringatan kepada peminjam yang gagal membuat pembayaran semula.

Pihak MiMBAR juga membuat penjadualan semula pembayaran yang sepatutnya diselesaikan dalam tempoh 18 bulan kepada peminjam serta melanjutkan tempoh bayaran kepada mereka yang bermasalah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.